Murah rezeki, panjang umur beri kucing makan – Azhar Idrus

PETALING JAYA – Tiada hukum sekiranya kita tidak memberi makan kepada haiwan terutamanya kucing, namun jika diberikan makanan hukumnya adalah sunat.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, walaupun kita selalu berzikir namun kedekut terhadap haiwan, kelakuan itu tidak memberikan apa-apa makna.

“Allah hantar kucing kepada kita adalah untuk kita kongsi rezeki kepada haiwan tersebut. Kucing tidak minta banyak hanya untuk melepaskan laparnya.

“Nabi pernah berkata, kalau kita tanam tanaman dan dimakan oleh burung, maka ia menjadi sedekah kepada kita. Jadi jika kita bagi makan pada kucing itu akan jadi kifarah kepada kita,” jelasnya dalam satu sesi ceramahnya di YouTube baru-baru ini.

Tambah Azhar, nabi adalah contoh yang terbaik, baginda memberi makan kepada haiwan, budak-budak dan sesiapa sahaja sehingga nabi kata jika diberi makan kepada haiwan yang ada perut ia dikira sedekah.

“Biasalah kalau kita masuk kedai makan mesti ada kucing yang datang meminta makanan daripada kita, jika kita mahukan murah rezeki kita kongsi dengan haiwan itu.

“Awak tu ada banyak duit dalam bank dalam kocek, tapi kedekut, bukan setakat murah rezeki malah kita juga cepat kaya, kalau tak percaya cubalah,” ujarnya.

sumber;KOSMO! ONLINE.