Tak minat hadir kelas tambahan bahasa Arab mendorong seorang murid perempuan berusia 11 tahun mereka cerita kononnya dia cuba diculik oleh lapan suspek menaiki dua van putih.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan terhadap ‘mangsa’ mendapati, dakwaan itu adalah tidak benar dan sengaja direka untuk menarik perhatian keluarganya.
Mangsa juga tidak berminat untuk menghadiri kelas tambahan mata pelajaran Bahasa Arab yang diadakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kapar Barat.
Media sebelum ini melaporkan, Nurul Wahidah Abdul Rahman mendakwa dia nyaris diculik lapan suspek memakai topeng dan menaiki dua buat van putih.
Berdasarkan nota yang tersebar di media sosial, Nurul mendakwa dua suspek turun dari van putih untuk menangkapnya tetapi diselamatkan oleh seorang pakcik tua.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 10.30 pagi Sabtu lalu ketika mangsa pulang dari kelas tambahan itu.
Justeru, Nurulhuda menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya di medai sosial sehingga menimbulkan rasa panik di kalangan masyarakat.
Tidak dipastikan sama ada polis mengambil tindakan terhadap kanak-kanak itu atau tidak berikutan dakwaan palsu itu.
Sumber: Kosmo