Musim raja buah! Penggemar durian 'serbu' Balik Pulau

BALIK PULAU: Keenakan durian Balik Pulau yang dikatakan berbeza dengan durian dari tempat lain antara faktor membuatkan penggemarnya sanggup menempuh perjalanan jauh ke Pulau Pinang semata-mata mahu menikmati kelazatan ‘raja buah’ itu.
Meskipun harga sesetengah jenis durian agak tinggi, namun mereka tidak lokek berbelanja dan ‘pejam mata’ asalkan dapat menikmati buah durian Balik Pulau.

Tinjauan Astro AWANI di Anjung Indah, Balik Pulau, mendapati dataran itu dipenuhi dengan penggemar durian yang mengambil peluang cuti hujung minggu berkunjung ke situ.

Roslisa Saad, dari Kedah berkata, dia sekeluarga teruja dapat bercuti ke Pulau Pinang pada musim durian kali ini.
Menurutnya, satu kepuasan apabila dapat menikmati semula durian di Balik Pulau, selepas tidak dapat berbuat demikian berikutan tidak boleh merentas negeri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 semasa musim durian sebelum ini.

“Musim durian kali ini memang best lah… sebab kita boleh keluar makan-makan. Sebelum ini PKP tak boleh datang makan, hari ini kami datang makan.
“Kami mai (datang) dari Kedah, makan dekat Penang ni. Durian dekat sini terbaik, memang duk tunggu, harga pun berpatutan. Saya mai satu famili, memang datang ke Pulau Pinang sebab nak makan durian,” ujarnya teruja.

Sementara itu, seorang juruteknik, Nazmi Zakaria, berpendapat jumlah pengeluaran buah durian tahun ini masih tidak banyak dan itu mempengaruhi harganya.

“Kali ni kalau ikutkan dia punya buah, kurang sikit dari tahun lepas. Musim lepas banyak buah. Bila musim durian biasalah harga mahal atau murah orang tetap beli juga.

“Tapi bagi saya, harga (tahun ini) mahal sikit… agak tinggi. Musang King pun dah sampai RM60 ke RM80 (sekilogram). Saya rasa durian musim ni tak banyak. Tahun lepas banyak, tengok ada dekat Johor, Kelantan dan Perak,” katanya.
Tambah Nazmi, suasana kali ini di Balik Pulau agak meriah mungkin disebabkan Pulau Pinang menawarkan stok yang mencukupi dan tiada lambakan durian.

“Walaupun mahal tetap orang cari juga,” katanya.

Sementara itu, peniaga durian, Mohd Hilmi Che Ros berkata, sambutan terhadap pesta durian kali ini amat luar biasa susulan negara yang sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Dia yang kembali berniaga di kedai fizikal selepas terpaksa menjalankan perniagaan secara dalam talian dan penghantaran semasa PKP, berkata, perniagaannya kembali rancak dengan kedatangan peminat buah popular itu.
Menurutnya, harga durian yang dijual di gerainya masih berpatutan dan mampu dinikmati penggemarnya.

“Durian di Balik Pulau (didatangkan) dari ladang terus ke Anjung Indah. Kita tak ambil buah dari luar. Keunikan buah di sini (rasanya) berbeza dengan negeri lain, sebab pokok di sini ada yang lebih 20 tahun pun ada. Warnanya juga berbeza. Kita tengok Musang King Balik Pulau tak sama dengan Musang King dari luar… beza dari segi bentuk dan warna, ia tak sama,” kata Mohd Hilmi.
Dia juga mengakui perniagaannya rancak disebab orang ramai kini boleh rentas negeri, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang agak mencabar dan terpaksa berurus niaga secara penghantaran

“Sekarang kalau ada COD, kita tengok permintaan. Kita hantar juga. Tapi sekarang kita utamakan orang yang datang ke gerai. Sebelum ini dua tahun kita tak dapat buka… maka tahun ini kita beroperasi semula,” jelasnya.

Selain Musang King, durian jenis Black Thorn, Kacang Hijau, Udang Merah dan Emas antara yang boleh didapati di gerainya serta gerai-gerai lain di Balik Pulau.

sumber ;astro awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *