Kalau bukan musim panas, negara kita mesti akan mengalami musim hujan. Antara dua musim tu sajalah yang kita akan lalui setiap masa. Kalau cuaca panas terik, memang seronoklah kalau kita nak sidai baju sebab cepat kering. Tapi kalau hujan asyik turun saja, patut ke kita basuh baju-baju kotor yang dah mula menimbun tu? Atau patut kita tunggu hujan berhenti?
Tips Menyidai Baju di dalam Rumah Semasa Musim Hujan
Kadang-kadang, lepas dah basuh dan sidai baju, belum sempat kering lagi hujan dah turun dengan lebatnya. Ataupun hujan memang turun seharian dan belum ada tanda ia akan berhenti, tapi korang nak kena basuh juga baju kotor yang dah semakin banyak.
Solusi kepada dua masalah ini adalah untuk menyidai baju di dalam rumah saja. Kalau nak ke dobi untuk keringkan baju rasa tak berbaloi pula sebab mungkin baju yang dibasuh sikit je ataupun leceh nak ke kedai dobi sebab hujan dan jauh.
Tapi nak sidai baju dalam rumah, ada caranya juga supaya baju yang disidai lebih cepat kering dan tidak berbau hapak. Korang boleh ikuti tips-tips di bawah ni untuk tahu bagaimana caranya:
Gunakan Pewangi Pakaian
Masa korang basuh pakaian, jangan lupa letakkan pewangi pakaian sekali. Nak letak lebih pun tak apa sebab bila sidai baju di dalam rumah, dalam suasana hujan yang lembap, ia akan menyebabkan baju berbau hapak. Jadi apabila korang dah masukkan pewangi pakaian awal-awal lagi, ia boleh mengelakkan pakaian daripada berbau hapak.
Gunakan Fungsi Spin dengan Kelajuan Paling Tinggi
Kalau perasan, dekat mesin basuh korang ada fungsi spin. Gunakan fungsi ni pada kelajuan maksimum untuk ‘memerah’ air dengan lebih banyak lagi daripada pakaian korang. Nanti bila nak sidai, tak adalah ambil masa yang lama sangat untuk kering sebab baju korang dah tak lembap sangat.
Kibas Pakaian Sebelum Sidai
Kalau nak kurangkan lagi air yang terdapat dalam pakaian, sebelum nak sidai tu korang boleh kibaskan beberapa kali. Selain dapat kurangkan air, cara ni juga akan memastikan tiada lipatan terbentuk pada baju. Jika ada bahagian baju yang terlipat dan ‘melekat’ ia akan melambatkan proses pengeringan. Selain tu, dengan mengibas baju juga dapat kurangkan kedutan pada baju.
Jarakkan Pakaian Semasa Sidai
Gunakan penyangkut baju semasa menyidai pakaian pada ampaian. Dalam masa yang sama, jarakkan antara satu pakaian kepada pakaian yang lain agar ada ruang untuk angin lalu dan dapat mempercepatkan proses pengeringan. Pastikan ampaian tak diletakkan dekat dengan dinding untuk elakkan pertumbuhan kulat. Asingkan juga pakaian mengikut ketebalannya sebab kain yang tebal akan lebih lambat kering.
Sidai Pakaian di bawah Kipas
Disebabkan tiada matahari yang boleh keringkan pakaian, jadi korang kena bergantung kepada angin daripada kipas untuk mengeringkan pakaian. Kalau nak senang, korang basuh baju di waktu malam dan menyidainya di ampaian di bawah kipas di ruang tamu. Biarkan kipas terbuka dan baju kering semalaman sementara korang lena tidur.
Kerapkan Basuh Baju
Mungkin benda ni akan menjadi sedikit leceh, tapi kalau hujan turun berterusan sampai susah nak nampak matahari dan ampaian yang korang ada pula tak cukup besar untuk memuatkan pakaian yang banyak, cuba untuk kerapkan basuh baju. Maksudnya, kalau sebelum ni dalam seminggu korang basuh baju sekali saja, semasa musim hujan basuh baju dua kali seminggu pula. Dengan cara ni, kuantiti pakaian setiap kali dibasuh akan jadi lebih sedikit dan baju pun sempat kering sebelum sesi basuhan yang seterusnya.
Sebenarnya, memang lagi senang nak ke dobi untuk keringkan pakaian cuma dengan cara-cara di atas ni korang lagi dapat berjimatlah. Lepas ni kalau tiba je musim hujan, dah tak perlu lagi nak risau pakaian yang dibasuh tak kering. Korang perasan tak kadang-kadang mesin basuh berbau hapak? Ia jadi berbau sebab mesin basuh tersebut dah lama tak dicuci.
sumber ;my sumber tip