Orang lain buang selimut buruk, tuala koyak… lelaki ini kutip buat pasu bunga! Dapat idea ketika ‘kering’ job

Begitu juga seorang pemuda yang menghasilkan pasu bunga menggunakan barang-barang terpakai dan terbuang seperti tuala buruk.

Pemuda berkenaan, Mohamad Hazhlee Azid berkata, dia menghasilkan pasu bunga itu sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang semasa PKP.

Anak muda berusia 24 tahun itu memberitahu, tambahan pula rumahnya di Kampung Tunjung di Kota Bharu, Kelantan dihiasi dengan pokok-pokok bunga yang dijaga ibunya.

“Saya bekerja sebagai kontraktor dan membuat kerja-kerja wiring sekiranya ada projek. Bila tak ada job ni, saya lakukan sesuatu daripada apa yang saya nampak boleh buat di rumah.

“Mak memang suka tanam pokok-pokok bunga. Jadi, timbul idea untuk buat pasu bunga menggunakan barang-barang terpakai dan terbuang,” katanya kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Pok Lie, katanya, pasu bunga itu menggunakan barang-barang seperti bakul sampah, baldi, bekas makanan terpakai termasuk tin biskut.

“Bekas pasu akan ditampal dengan satu lapisan menggunakan kain, tuala atau selimut lama atau koyak yang dicampur dengan bancuhan simen bagi memastikannya lebih kukuh dan tebal.

“Penggunaan kain yang dicelup dengan simen itu akan menimbulkan kesan 3D (tiga dimensi). Daripada kain atau tuala buruk tu dibuang, lebih baik lakukan sesuatu denganya,” ujarnya yang turut terlibat membuat kerja-kerja pembinaan rumah secara sambilan.

Menurut anak kedua daripada lapan beradik itu, proses pembuatannya mengambil masa sehari di mana bahan yang telah dicelup dengan simen perlu dikeringkan.

“Selepas kering, saya sapu lagi satu lapisan simen untuk pasu bunga tu lebih tebal dan kukuh. Pagi buat, petang dah boleh kering selepas jemur. Bila dah kering, baru boleh cat.

Kalau ada permintaan, saya pertimbangkan untuk menjualnya sebagai pendapatan sampingan.

“Cuma cabarannya kalau cuaca hujan sebab pasu-pasu bunga yang disalut simen tu perlu dikeringkan terlebih dahulu,” katanya sambil menambah kebanyakan bahan terbuang diperoleh daripada keluarga dan rakan-rakan.

Pok Lie berkata, setakat ini kira-kira 20 pasu bunga pelbagai saiz dan bentuk telah dihasilkannya, sambil menambah pada mulanya kesemuanya dibuat untuk kegunaan di rumah.

“Tapi bila dah susun dan jemur di luar rumah, memang mudah dilihat orang-orang kampung. Ada orang kampung nampak terus berminat nak beli.

Pasu bunga buatan tangan ini menambah seri rumah.

“Sebenarnya apa yang saya lakukan ini lebih kepada kepuasan. Saya tengok macam mana orang buat di laman YouTube, dan saya buat mengikut kreativiti sendiri.

sumber ;mstar