Ketika kita makan nasi berlauk-pauk pelbagai hidangan hari-hari sampai kadangkala merungut tidak tahu hendak makan apa atau masak apa hari ini, barangkali apabila melihat gambar ini, hati boleh tiba-tiba menjadi sebak.
Seorang pengguna Facebook, Apit Lid baru-baru ini telah berkongsi dua gambar menyentuh hati yang menunjukkan realiti kehidupan sesetengah orang, bagaimana seorang pengawal keselamatan warga Nepal hanya mampu mengalas perut daripada tidak berlapar dengan bekalan nasi air kosong dan berlauk bawang.
Gambar sedih itu menunjukkan pengawal keselamatan ini sedang menjamah nasi putih yang dituang air kosong sebagai kuah dan lauknya adalah tiga ulas bawang putih dan sebelah bawang besar.
Apit Lid dalam posting bersama gambar itu, “Manusia contoh, kerja rajin. Gaji sama banyak je dengan orang lain. Tapi kenapa dia makan nasi putih + kuah air masak + bawang besar + bawang putih???”
“Sebab dia sayang keluarga dia dekat kampung. Sebulan belanja makan dia tidak lebih RM100 dia cakap. Baki gaji semua dia hantar ke kampung. Saya kalau ada rezeki lebih kadang-kadang belanja dia makan. Semoga dipermudahkan segala urusannya…” tulis Apit Lid.
Tambah Apit Lid, dia kagum melihat kesungguhan pengawal keselamatan berkenaan ketika bekerja yang sanggup makan nasi dengan bahan masakan mentah yang dikatanya ‘lauk’, yang mana rata-rata orang kita di Malaysia sudah pasti tidak boleh telan melainkan sudah dimasak.
Begitu getir kehidupan mereka berusaha mencari rezeki di negara kita sambil melakukan pengorbanan besar demi membahagiakan keluarga tercinta di negara asal.
Membuat kita berasa insaf dan bersyukur sebagai rakyat Malaysia, kerana walaupun kita kata diri tengah susah, tidak dapat makan nasi berlauk ayam atau ikan, makan dengan telur goreng dituang kicap pun masih ada orang akan menghulur.
sumber ;era baharu