Pancing siakap putih 21.9 kg, jual RM500

Kuala Terengganu: “Ikan siakap ini menjadi hadiah hari lahir saya yang paling bermakna,” kata Mohd Syazwan Mohd Shaiful.

Mohd Syazwan, 25, dari Kampung Batin Seberang Takir di sini, gembira apabila berjaya menaikkan ikan siakap putih seberat 21.9 kilogram (kg) ketika memancing di benteng pemecah ombak di sini, pagi hari ini

Lebih istimewa kerana Mohd Syazwan menaikkan ikan siakap putih itu pada 2 pagi, pada hari lahirnya yang ke-25 tahun.

Menurutnya, dia mengambil masa selama 40 minit untuk menaikkan ikan siakap putih itu.

“Saya bersyukur kerana berjaya menaikkan ikan siakap itu kerana sebelum ini jika ikan terlalu besar akan menyebabkan tali pancing putus.

“Memang sudah menjadi rezeki saya pada hari lahir apabila berjaya menaikkan ikan siakap yang memang terkenal dengan agresif itu,” katanya.

Menurutnya, ikan siakap putih itu tidak dimakan sebaliknya dijual kepada seorang pengusaha restoran makanan laut di daerah ini.

“Saya menjualnya pada harga RM500 seekor dan wang itu digunakan untuk membeli peralatan memancing selain belanja rakan sehobi makan sempena menyambut hari lahir.

“Sebenarnya, kos memancing siakap menggunakan teknik ‘casting’ ini agak mahal oleh itu apabila dapat duit hasil daripada memancing, saya akan gunakan untuk membeli peralatan memancing juga,” katanya.

Menurutnya, dia memancing sejak berusia belasan tahun dan ikan siakap putih itu ialah ikan paling besar yang pernah dipancingnya.

“Sebelum ini pernah menaikkan ikan siakap putih seberat lima kilogram dan 15 kg di lokasi yang sama,” katanya.

sumber;metro