Pasangan Muslim ini buka kedai daging halal premium di Upper Thomson; jual daging, sosej ‘artisanal’

Tiga tahun yang lalu, Renga Vellasamy, 41 tahun, dan Sophina Smith, 40 tahun, membuka kedai daging mesra Muslim, The Meatery di Sunset Way, dengan harapan untuk memenuhi keperluan tertentu dalam pasaran.

“Saya memeluk agama Islam lebih 10 tahun yang lalu. Sebelum ini, saya membeli daging premium daripada institusi-institusi seperti Huber’s Butchery dan Culina, tetapi setelah memeluk Islam, saya sedar terdapat jurang besar dalam pasaran bagi daging halal yang bermutu tinggi,” kongsi Encik Renga, yang memeluk Islam setahun sebelum bernikah dengan isterinya yang beragama Islam.

Suami isteri berlainan kaum itu – Encik Renga berbangsa India, manakala Cik Sophina seorang Serani dengan keturunan Jawa – mempunyai tiga orang anak.

“Kami mahu memulakan sesuatu secara kecil-kecilan dahulu dan kami menyifatkan ruang di Sunset Way ini sebagai lokasi yang sesuai untuk kami memulakan perniagaan kami.

“Apabila ia ditawarkan di pasaran, kami terus menyambarnya,” tambahnya, sambil merujuk kepada cawangan pertama The Meatery di Clementi Arcade, sebuah pusat beli-belah yang kecil di kawasan kejiranan mereka.

Keputusan yang diambil mereka berdua itu memang tepat kerana perniagaan mereka bertambah maju sehinggakan kedai daging mereka diperluaskan ke satu lagi kedai di Upper Thomson dua bulan yang lalu – sekitar lapan kali lebih besar berbanding kedai mereka sebelum itu.

“Sedang perniagaan kami berkembang, kami menyewa beberapa tempat di merata negara untuk menyimpan barang-barangan kami.

“Kami rasa sudah tiba masanya untuk berpindah ke ruang yang lebih besar,” kata Encik Renga.

Lokasi baru mereka, yang menelan belanja S$150,000 untuk diubah elok, kelihatan seperti sebuah rumah sembelih di Australia. Ia menempatkan ruang runcit yang besar, beberapa kawasan pemprosesan dan memasak daging, serta peti sejuk untuk menyimpan daging yang dibawa masuk dari negara-negara seperti Australia, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat setiap hari.

Sekalipun kedai mereka belum mempunyai sijil halal yang rasmi setakat ini, semua daging yang dijual di kedai mereka disahkan halal, tidak diubah suai secara genetik dan diternak tanpa menggunakan antibiotik dan hormon.

BEKERJA DALAM BIDANG PENGIKLANAN SEBELUM INI

Pasangan suami isteri ini bertugas sebagai pengurus akaun dalam bidang pengiklanan sebelum membuka kedai daging mereka.

“Setiap kali kami ingin membawa klien kami makan, amat mencabar untuk kami memikirkan tempat-tempat halal premium,” kongsi Cik Sophina.

“Justeru, bagi kedai daging kami, matlamat jangka panjangnya adalah untuk menjadi seperti Victor Churchill, iaitu sebuah kedai daging premium di Australia.

“Mereka mempunyai jubin marmar, dinding kaca dan bilik untuk mengeringkan daging – dalam pasaran halal, tiada tempat seperti itu. Oleh itu, kami fikir agak baik untuk mewujudkan pengalaman sedemikian di sini.”

Pengalaman mereka dalam bidang pengiklanan ternyata berguna dalam perjalanan mereka sebagai usahawan. “Bekerja dalam bidang pengiklanan mengajar kami bagaimana untuk mengalami kegagalan dengan pantas. Sebagai pengurus akaun, kami perlu bertindak sebagai pemikir yang strategik dan ini sangat berguna dari sudut keusahawanan.”

TIDAK TERBATAS KEPADA PELANGGAN MUSLIM SAJA

“Kami mempunyai campuran pelanggan 50-50 Muslim dan bukan Muslim. Matlamat kami supaya jenama kami terkenal sebagai daging yang bermutu, yang secara hakikatnya, juga halal,” ujar Cik Sophina.

“Sebahagian besar pelanggan bukan Muslim kami datang ke sini untuk potongan daging yang tidak dapat mereka temui di tempat lain, seperti potongan daging ‘hanger steak’, ‘picanha’ dan pelbagai jenis ‘rib-eye’,” tambah Encik Renga.

Buat masa ini, kira-kira 60 peratus penjualan mereka adalah melalui tempahan online dan selebihnya adalah pelanggan yang melanggani kedai mereka secara fizikal. Mereka juga membekalkan daging kepada rangkaian kafe Dutch Colony Coffee Co dan beberapa perniagaan dari rumah (HBB).

“Sesetengah pelanggan kami yang menetap di Jurong mengeluh apabila kami berpindah ke Upper Thomson, tetapi mereka tetap datang ke sini,” seloroh Encik Renga.

Para pelanggan mereka juga termasuk cef-cef, seperti pengadil peraduan MasterChef Singapura dan cef Bjorn Shen, serta para pelajar sekolah kulinari.

DAGING HALAL VS DAGING TIDAK HALAL

Cik Sophina mendapati bahawa permintaan daging halal yang semakin meningkat menjadikannya lebih mudah untuk memperolehi bekalan daging halal berbanding sebelum ini.

“Pasaran ini mengiktiraf peluang dalam segmen yang semakin berkembang sekarang – Asia Pasifik saja membentuk hampir 60 peratus daripada permintaan sejagat bagi daging halal,” katanya.

Perbezaan harga antara daging halal dengan yang tidak halal sebahagian besarnya bergantung kepada negara asal daging itu.

“Di Australia, perbezaan kos boleh diabaikan kerana sejumlah besar eksport mereka pergi ke negara-negara yang mempunyai ramai penduduk Muslim, seperti Timur Tengah dan Malaysia. Di negara-negara di mana ia lebih sukar untuk mendapatkan daging yang mesra Muslim, seperti Jepun, kosnya lebih tinggi.”

Dari segi rasanya pula, Encik Renga berkata tidak ada perbezaan yang ketara. “Saya rasa perbezaannya tidak ketara kepada pengguna biasa, terutama sekali jika anda tidak melakukan perbandingan antara kedua-dua daging itu.”

PEKERJA ADALAH LULUSAN SEKOLAH KULINARIEncik Renga dan Cik Sophina menggajikan lulusan Institut Kulinari Amerika (kampus Singapura) Destin Tay, 28 tahun dan Danial Lo, 30 tahun untuk mencipta keluaran khas kedai itu seperti campuran daging, sosej, bebola daging dan pati, manakala pengurus operasi Suhaizan Dahlan, 42 tahun, dan penolong pengurus Muhammad Adib Syahmi, 24 tahun, menguruskan kedai tersebut.

DAGING STIK UNTUK PELBAGAI BAJET

Anda boleh mendapatkan daging Australian Black Angus ‘rump cap’ (S$6.40 bagi setiap 100 gram) ataupun daging Tajima wagyu MS8 dari Australia (S$27.65 bagi setiap 100 gram) – pasti ada sesuatu untuk setiap bajet!

Peminat daging wagyu Australian Blackmore dari wilayah Victoria mesti teruja kerana terdapat versi halalnya di kedai ini juga: daging ‘rump cap’ yang berharga S$19.30 untuk setiap 100 gram.

Pekerja di The Meatery yang peramah lagi berpengetahuan tidak lokek untuk mengongsi saranan mereka dan juga tip-tip memasak.

Anda juga boleh membuat pesanan untuk daging halal melalui laman web mereka – khidmat penghantaran percuma bagi pembelian melebihi S$120.

The Meatery terletak di 10 Jln Gelenggang, S578191.

Ia dibuka setiap hari, kecuali Isnin.

Selasa hingga Jumaat: 10.00 pagi – 7.00 malam

Sabtu: 10.00 pagi – 6.00 petang

Ahad: 10.00 pagi – 4.00 petang

Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman web, akaun Facebook dan Instagram mereka.
Sumber : CNA/NY/fz