Patah kaki terjun bangunan selepas dengar letupan

Pasir Gudang: Dua pekerja tempatan melecur dalam kebakaran kilang memproses getah tiruan di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian jam 5.16 petang itu, dua mangsa melecur di tangan manakala seorang lagi patah kaki kiri akibat terjun dari bangunan selepas terdengar letupan.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Penawar Pasir Gudang bagi rawatan lanjut,” katanya menerusi siaran media.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada dua tangki di syarikat itu meletup.

“Pasukan bomba dan penyelamat serta pasukan bantuan kecemasan kilang berjaya memadam kebakaran pada 8.30 malam. Kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, seramai 38 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Larkin dan Johor Jaya diketuai Timbalan Penguasa Bomba I, Ibrahim Omar menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

Menurutnya, siasatan mendapati kebakaran membabitkan tangki muatan getah.

“Kerja baik pulih dilakukan selepas selesai operasi pemadaman kebakaran,” katanya.

sumber ;my metro