Selama dua tahun lebih telah mengajar tetapi pelajar-pelajar pensyarah ini tidak pernah tahu yang pensyarah mereka tinggal dan mengajar di dalam khemah, memetik laporan The Guardian.
Seorang pensyarah dikenali sebagai Aimée Lê yang bekerja sebagai pensyarah bahasa Inggeris di United Kingdom (UK) ini mengaku bahawa dia tinggal di dalam khemah sepanjang tahun ketiga dia menyiapkan PhD.
Menurut laporan, pensyarah ini memilih untuk tinggal di dalam khemah kerana dia berdepan dengan masalah kewangan akibat kenaikan sewa rumah yang naik secara mendadak pada tahun ketiga beliau menyiapkan PhD.
Dia menyedari bahawa dirinya tidak mampu untuk menyewa flat dan menanggung semua kos kajian penyelidikannya itu.
Gambar: via The Guardian
“Sejuk, khemah itu sangat kecil. Hanya muat untuk seorang sahaja.” imbas pensyarah itu.
“Semua itu jadi kenangan pahit, lebih-lebih lagi pada suatu ketika, saya bangun, dan luar khemah saya dipenuhi dengan bulatan salji. Kalau saya sedang tiada sebarang tugasan, saya belajar cara untuk potong kayu untuk menyalakan api.” terangnya lagi.
Disebabkan khemah yang begitu kecil, dia memilih untuk menyimpan semua buku pascasiswazahnya di pejabat kerana tidak mahu buku itu rosak. Bukan itu sahaja, dia juga mandi di universiti.
Lebih menyedihkan lagi, apabila dia tidak ingin ibu dan bapanya risau. Oleh itu, dia bertindak untuk tidak memberitahu keluarganya berkenaan hal itu. Dia memberitahu ibu dan bapanya bahawa dia tinggal di ladang ekologi.
Walaupun pihak universiti ada menegaskan mengenai kebajikan pelajar dan sebagainya, dia tetap memilih untuk tidak memberitahu universiti tempat dia belajar mengenai kesukaran hidupnya pada masa itu. Menurut dia, masalah itu akan membuatkan reputasi dia akan rosak kerana di ‘cop’ sebagai orang tiada tempat tinggal.
Lê sempat menghabiskan masa selama enam bulan tidur di atas lantai rumah rakannya semasa menjalankan penyelidikan PhD. Pada masa yang sama dia sempat mengajar subjek Sejarah dengan bayaran £15 (RM84.67) sejam di Universiti Russell Group.
Dia juga dikatakan pernah mempunyai kecacatan, dan pada tahun ketiga dia menjalani PhD, pembiayaan dia dibekukan semasa dia terpaksa berehat sebulan selepas pembedahan dilakukan.
Menurut laporan, dia merupakan pelajar antarabangsa dan disebabkan itu dia terpaksa membayar yuran yang lebih mahal iaitu sebanyak £8,000 (RM45,286.85).
Malah, dia juga perlu membayar £3,000 (RM16,984.45) untuk sewa rumah. Disebabkan itulah dia telah meminjam khemah daripada kawannya berikutan tidak mampu membayar kesemua bayaran itu dengan duit gajinya sebagai tenaga pengajar.
Pensyarah itu telah memperoleh PhD pada tahun 2018 dan pernah mengajar murid di sekolah dan bekerja di taman botani untuk memenuhi keperluan hidup sebelum memperoleh dua tahun kontrak untuk mengajar penulisan kreatif di Universiti Exeter.
“Masa itu sangat sukar, sebab nak teruskan mengajar, dan pada masa yang sama nak buat penyelidikan. Malah, tiada tempat tinggal yang lebih baik untuk saya tinggal. Sehingga pada akhirnya saya pernah mengalami Post-traumatic stress disorder (PTSD) yang sangat teruk.” kata pensyarah itu.
Sumber: The Guardian