Pelajar UPM kongsi rahsia kejayaan tanam rock melon

Tidak pernah bermimpi untuk mempunyai hasil tanaman yang boleh mendatangkan rezeki. Begitulah impian yang kini menjadi kenyataan kepada Khairul Amirin Khairudin, 23, yang mengetuai kumpulannya menjalankan Projek Inkubator Top Agro @UPM.

Bersama enam lagi rakan iaitu Firdaus Mohd, Radzi, 23, Muhammad Imran Azman, 23, Muhamad Zahid Ahmad Fozi, 23, Muhammad Hafiz Aiman Mohd, Khairuddin, 22, Nur Amirul Haakim Tumiran, 23, dan Ahmad Shukri Yahya, 22, mereka menanam 1,300 pokok rock melon di Unit Fertigasi, Ladang Agrotek, Taman Pertanian Universiti (TPU), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Perhubungan Alumni dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM dengan kerjasama Fakulti Pertanian, Majlis Perwakilan Pelajar dan Malaysian Agro Entrepreneurial Club for University Students (MyAgrosis) dan TPU yang menyediakan khidmat guna tanah seluas dua hektar.

Projek bernilai RM14,000 itu dimulakan pada 1 Januari lalu dan telah menuai hasil buah rock melon sebanyak tiga tan pada 8 Mac.

Khairul Amirin Khairudin berkata, kumpulannya menyahut cabaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk merealisasikan harapan melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan.

“Saya gembira dapat menyertai projek ini yang memberi pendedahan dan kemahiran tentang asas usahawan pertanian atau agroprenuer,” katanya.

Selain itu, mereka diberi pendedahan latihan pertanian jangka panjang agar boleh mengusahakan kaedah fertigasi sebagai mata pencarian selepas bergelar graduan kelak. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan asnaf menerusi kemahiran keusahawanan dan insaniah.

Menurutnya Khairul Amin, pokok rock melon mereka ditanam dalam beg politin (polibag) menggunakan kaedah tanaman fertigasi iaitu tanaman moden tanpa tanah. Seorang pegawai pertanian yang merupakan alumni UPM menjadi mentor untuk memantau kejayaan projek berkenaan.

Sepanjang tigabulan mengusahakan tanaman tersebut, Khairul Amirin dan kumpulannya berkongsi petua untuk memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Persediaan awal

Sebelum memulakan projek, jadual tanaman diambil kira dan dirancang dengan sebaiknya seperti hari penanaman, hari pembajaan dan hari penuaian bagi memastikan tanaman dapat mengeluarkan hasil yang sepatutnya dan dapat dijual pada musim sesuai. Kawasan penanaman fertigasi pula dibersihkan terlebih dahulu daripada sebarang sisa dan makhluk perosak bagi mengurangkan risiko penyakit serta serangan perosak tanaman.

Penyemaian benih

Pilih biji benih berkualiti untuk disemai dalam dulang. Hal ini menunjukkan sebelum pembenihan, benih dirawat untuk memastikan hanya pokok rock melon yang sihat boleh ditanam menerusi sistem fertigasi. Lazimnya, anak benih yang disemai dalam dulang akan tumbuh membesar dalam tempoh 10 hari hingga dua minggu sahaja.

Pemindahan anak benih

Kerja-kerja pemindahan anak benih boleh dilakukan pada usia antara 10 hingga 12 hari atau jika anak benih sudah mempunyai daun keempat sebesar ibu jari tangan. Anak benih mula dipindahkan dan ditanam dalam bekas autopot. Anak pokok hendaklah dipegang dengan baik agar tidak tercabut akarnya. Untuk kerja-kerja pemindahan anak pokok ke dalam beg politin, sebuah lubang perlu digali pada cocopeat di tengah-tengah beg politin dengan ukuran 4 sentimeter (sm) lebar x 4 sm panjang x 4 sm tinggi.

Mengikat pokok

Tali rafia digunakan dengan diikat pada pangkal pokok rock melon. Kemudian pucuk yang keluar dan semakin memanjang dililit di sekeliling tali rafia. Kerja melilitkan pucuk pokok mesti dilakukan bagi memastikan pokok tumbuh tegak ke atas. Biasanya, kerja melilit pokok dilakukan serentak dengan kerja-kerja membuang tunas air.

Tujuan utama pokok diikat adalah untuk menyediakan sokongan kerana pokok rock melon adalah sejenis tumbuhan menjalar dan tidak mempunyai batang yang tegak. Oleh itu, sistem sokongan menggunakan tali rafia diperlukan agar pokok dapat membesar dan tumbuh dengan elok dan menegak, mendapat cahaya dengan secukupnya dan batang tidak patah serta buah tergantung dan bersih. Pokok rock melon juga boleh diikat selepas dua minggu dari tarikh anak pokok dipindahkan. Ini kerana pada usia ini, pokok rock melon sudah mula menjalar.

Pemangkasan

Kerja-kerja pemangkasan hendaklah dilakukan dengan membuang tunas yang keluar dar batang utama. Tunas tersebut kebiasaannya dipanggil tunas air yang mula keluar ketika pokok berusia tiga minggu. Kerja-kerja pemangkasan dilakukan untuk mengelakkan tunas air membesar. Proses ini akan memberi kesan kepada batang utama dan membantu pembesaran buah. Jika dibiarkan, tunas air akan membesar dan mencuri nutrien yang diperlukan oleh batang dan buah. Akibatnya, pokok akan menjadi tidak sihat dan buah yang dituai kelak kurang berkualiti.

Selain itu, daun-daun tua juga perlu dibuang bagi mengelakkan penyakit. Pembuangan daun-daun tua dilakukan setelah mengutip hasil. Proses pemangkasan boleh dilakukan dengan menggunakan pisau, gunting atau pemotong dahan.

Pembajaan

Pokok membesar dengan unsur oksigen, hidrogren dan karbon dioksida daripada udara. Namun begitu, sebatian baja dengan 14 jenis unsur amat diperlukan untuk tumbesaran pokok. Sebatian ini terdiri daripada nitrogen, fosforus, kalium, kalsium, sulfat, magnesium, mangan, ferum (zat besi), kuprum, zink, boron, ammonium, molibdenum dan natrium. Oleh itu, pastikan semua sebatian ini larut di dalam air agar ia dapat diagihkan secara sekata ke semua pokok.

Baja boleh disediakan dalam frekuensi berbeza setiap hari atau mingguan mengikut keperluan pengairan, jenis tanah dan faktor-faktor lain. Biasanya, pengairan dibuat lima kali sehari. Usah teragak-agak untuk menyiram pokok jika faktor cuaca menyebabkan pokok memerlukan lebih banyak sumber air terutamanya pada musim panas dan kering.

Pendebungaan

Kerja-kerja pendebungaan dilaksanakan di mana stamen bunga jantan digeselkan ke stigma bunga betina. Hal ini boleh meningkatkan hasil buah rock melon. Untuk melakukan pendebungaan, pilih bunga jantan yang sihat, kemudian buang semua kelopak bunga.

Pendebungaan mestilah dilakukan pada waktu pagi bermula pukul 10 pagi kerana bunga kembang sepenuhnya. Hasil pendebungaan hanya boleh dilihat selepas 48 jam.

Buah rock melon boleh dituai apabila daun pengasuh (flag leaf) telah kering dan diikuti dengan adanya tanda-tanda retak mengelilingi pangkal buah. Semua hasil boleh diasingkan mengikut saiz untuk dijual di pasaran. Alat pemotong untuk memetik buah mestilah tajam agar tangkai dipotong dengan elok dan tidak menurunkan kualiti hasil tuaian.

“Walaupun berjaya mengeluarkan hasil sebanyak tiga tan, kami juga menghadapi masalah yang dapat memberi pelajaran kepada kami,” kata Khairul Amirin.

Sebanyak 50 peratus pokok telah diserang oleh penyakit dan serangga perosak. Namun begitu, hasilnya tetap boleh dijual dengan harga yang rendah kerana gred dan kualiti buah tidak mencapai seperti diharapkan. Hal ini kerana tapak fertigasi tersebut kurang diselenggara dengan baik sebelum ini. Ia menjadi perumah kepada serangga perosak tanaman seperti lalat putih, lalat buah dan kumbang. Oleh yang demikian, hasil buah gred A rendah disebabkan oleh serangan penyakit dan makhluk perosak.

Pada masa sama, pandemik Covid-19 mengekang pergerakan ahli kumpulan untuk memantau tanaman. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengehadkan perjalanan, urusan penjagaan tanaman dan proses jual beli buah.

Kesimpulannya, program ini memberi satu indikasi bahawa ramai pelajar UPM berminat dan mampu menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan usahawan muda kelak sekali gus membantu dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Tambahan pula ia dapat membantu meningkatkan kemahiran insaniah dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian kelak melalui pengalaman dan pembelajaran yang diperolehi sepanjang program ini berlangsung.

Lebih membanggakan, Khairul Amirin dan kumpulannya berjaya mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian pada masa hadapan.

Kesinambungan projek pertanian seperti ini bukan sahaja memberi rezeki kepada mereka, malah akan membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat dengan aktiviti jualan hasil pertanian serta dapat mencungkil bakat terpendam pelajar dalam mencuba sesuatu perkara yang baharu.

sumber ;utusan malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *