Pengantin mualaf bersanding selepas 5 tahun kahwin, kecoh majlis mak membebel depan keluarga mentua – “Dulu kami tak bertegur”

KISAH percintaan wanita berbangsa Cina ini dengan seorang jejaka Melayu tidaklah semudah yang disangka.

Malah, pelbagai dugaan terpaksa diharungi Nur Aishah Humaira Abdullah dan Muhd Amir Faiz Ramzi sebelum mereka disatukan sebagai suami isteri pada tanggal 22 Februari 2016.

Menurut wanita mualaf yang mesra disapa Emilia itu, penyatuan dia dan suami yang sama-sama berusia 24 tahun turut mendapat tentangan ibunya, RB Tan atau Elaine, 46, namun kini hubungan mereka sudah kembali jernih.

Saya memeluk Islam sebab minat dengan agama ini. Ketika sekolah, saya juga ambil subjek Tasawwur. Kemudian saya peluk Islam ketika nak berkahwin.

Masa awal peluk Islam, saya dapat bantahan. Mak saya ibu tunggal. Kami duduk serumah tapi tak bertegur. Mak saya frust. Jadi saya banyak keluar atau terperap dalam bilik saja.

Kehadiran bakal suami pada waktu itu membuatkan mak saya mula berubah dan bagi kebenaran. Ketika bakal suami datang rumah, dia tegur saya sebab asyik terperap dalam bilik.

Mak nampak usaha bakal suami macam nak menyatukan saya dan mak. Kemudian mereka pun mula bersembang,” imbasnya.

Menurut Emilia, dia dinikahkan dengan wali hakim kerana hilang jejak bapa kandungnya sejak sekian lama.

Malah, dia juga tidak melakukan sebarang majlis persandingan kerana belum menamatkan pengajian pada waktu itu.

Setelah beberapa tahun berlalu, Emilia dan suami yang kini memiliki dua cahaya mata akhirnya diraikan dalam majlis persandingan di kediaman keluarga angkatnya di Sabak Bernam, Selangor pada 1 Mac tahun lalu.

Kami belum ada photoshoot gambar kahwin. Kebetulan kakak angkat saya nak kahwin. Jadi saya dan suami pada asalnya nak tumpang bergambar saja.

Walaupun saya dah lama kahwin, mak masih membebel benda sama macam dulu-dulu.

Tapi keluarga angkat nak raikan kami juga, nak buat persandingan dua pasangan serentak. Mereka kata buat sekali, malah keluarga angkat turut taja baju persandingan saya.

Segan sebenarnya sebab kami pengantin lama, bukannya baru kahwin. Ketika majlis, suami saya pun banyak membantu kelangsungan acara. Dia siap pergi siang ikan keli sampai orang tak cam dia sebenarnya pengantin yang diraikan,” ujarnya berseloroh.

Ketika majlis itu, ibu kepada Emilia yang anggun mengenakan cheongsam berona merah terang sempat membebel sambil memberi nasihat berkaitan hal rumah tangga kepadanya di hadapan ahli keluarga yang lain.

Video penuh riuh rendah dengan hilai tawa pengantin dan ahli keluarga mereka turut dikongsi di TikTok sehingga meraih 1.2 juta tontonan.

Biasalah kita dari zaman anak dara dulu memang suka terperuk saja dalam bilik. Semua benda tak ambil kisah. Walaupun saya dah lama kahwin, mak masih membebel benda sama macam dulu-dulu.

Mak nasihat minta saya jaga suami, jaga rumah dan macam-macam lagi. Kebetulan dia membebel depan keluarga mentua. Abang ipar saya yang rakam video.

Saya terkejut juga bila viral. Pada awalnya followers TikTok saya hanya 100 orang. Ramai yang komen nak tahu apa yang mak saya membebel. Ada juga yang pertikai kerana suara tukang rakam video sedang ketawa terlalu kuat sampai tak dengar suara mak,” ujarnya yang menetap di Bandar Sunway.

Dedah Emilia, dia merupakan graduan bidang Undang-Undang dari sebuah kolej swasta di ibu negara yang akan melancarkan produk makanan bertih jagung tidak lama lagi.

Suaminya pula merupakan lepasan Institut Kemahiran Mara (IKM) dan kini bekerja sebagai juruteknik.