RANTAU PANJANG: Di tengah-tengah keadaan inflasi di mana harga bahan mentah kian mencanak naik, seorang peniaga di Rantau Panjang, Kelantan bertekad menjual mi celup pada harga RM2 (S$0.60) semangkuk dan air 50 sen (S$0.15) segelas,
Pemilik Kedai Lama Rantau Panjang, Cik Zuraini Abdul Samad, 52 tahun, malah akur meskipun beliau turut berdepan risiko tambahan kos, beliau mahu menjadikannya sebagai satu bentuk sedekah.
Ini terutama sekali bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan menikmati hidangannya itu.
Beliau memberitahu “Awalnya ramai yang tidak percaya saya mampu menjual makanan serta minuman tersebut dengan harga sedemikian dalam keadaan sekarang.
“Bukan tidak mahu untung, tetapi niat saya mahu membantu meringankan beban orang ramai yang sudah terbeban dengan kenaikan harga ayam, sayur, minyak dan sebagainya.”
Bahkan mi celup yang dijual Cik Zuraini turut dilengkapi isi ayam, bebola daging, sayur kangkung, taugeh dan hirisan limau nipis.
Air sirap dan teh o ais turut dijual pada harga 50 sen.
Harga murah tersebut bagaimanapun hanya ditawarkan pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, menurut ibu empat anak itu.
Pada hari-hari lain pula, mi celup dijual dengan harga biasa iaitu RM3 (S$0.95) hingga RM6 (S$1.90) semangkuk.
Ini bergantung kepada tambahan pada mangkuk mi tersebut, sama ada dengan telur, perut lembu dan lain-lain.
“Alhamdulillah, seronok bila tengok pelanggan datang bersama ahli keluarga menjamu selera.
“Kebanyakan penduduk di sini bekerja sendiri, jadi dengan harga yang ditawarkan mereka dapat berjimat untuk keperluan lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Kedai tersebut beroperasi dari 12.00 tengah hari hingga 7.00 malam.
Sumber : Agensi berita/IM/im