Perkongsian Dari Seorang Pakar “Air Tangan Penambat Hati’ – Usah Tolak Mentah-mentah Jodoh Pilihan Ibu Bapa”

 

MUNGKIN kedengaran
sedikit lucu, namun tidak dinafikan masih wujud lagi konsep  perkahwinan
yang ditentukan oleh ibu bapa pada zaman yang serba moden ini.

Jika dahulu,
situasi itu merupakan satu perkara biasa. Masakan tidak, bersua muka antara
satu sama lain pun sukar, inikan pula mahu pergi dating.

Namun begitu, saya
berpandangan perkara sedemikian tidak mustahil berlaku. Ini kerana masih ada
lagi ibu bapa yang berusaha mencari jodoh buat zuriat mereka.

Tidak kiralah untuk
anak lelaki atau anak perempuan. Persoalannya, adakah si anak wajib menerima
jodoh pilihan yang ditentukan?

Perlu difahami,
memilih jodoh adalah hak individu. Hatta dalam syariat sekalipun, ada istilah
wali mujbir buat anak gadis, yakni masih ada syarat yang perlu dipatuhi.

Ini bermaksud,
sekiranya si anak berdepan dengan kemelut perlu memilih jodoh idaman sendiri
atau kehendak ibu bapa, maka mereka tidak wajib menurut kehendak orang tua
mereka tanpa perbincangan.

 Mudah kata,
jika disuruh menerima pilihan mak ayah, anak-anak masih boleh berbincang
mengenai ketetapan jodoh tersebut.

Namun demikian,
diingatkan jangan tolak mentah-mentah. Ibarat menarik rambut dalam tepung.
Rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Perkara pertama
yang perlu dilakukan adalah dengan memohon untuk berkenalan terlebih dahulu
dengan individu yang hendak dijodohkan.

Sememangnya menurut hukum
syariat, dari aspek psikologi perkahwinan, bakal pasangan perlu mengenali siapa
yang bakal dikahwini dan dijadikan pasangan hidup.


Dalam Hadis Riwayat
at-Tirmizi, Al-Mughirah bin Syu’bah memberitahu Rasulullah SAW bahawa dirinya
bakal berkahwin dengan seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau
melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada
pasangan yang ingin dikahwini.

Sekiranya ibu bapa
membuat keputusan dengan mengatakan ‘tidak perlu nak kenal-kenal pun, budak itu
baik, datang daripada keluarga baik-baik juga’, maka si anak berlembutlah
dengan ibu bapa.

Maklumkan kepada
mereka bahawa anda perlu kenal dan suka dengan seorang individu yang asing
untuk dijadikan teman hidup.

Boleh mulakan
dengan pertemuan 12 mata melibatkan anda, ibu bapa anda dan si dia bersama ibu
bapanya. Kemudian ambillah peluang untuk mengenal hati budi masing-masing.

Paling penting, berterus terang
tentang keputusan ibu bapa yang mahu menyatukan kalian.


Jika kedua-dua sepakat dan bersedia, bolehlah
sampaikan berita positif itu kepada keluarga di kedua-dua belah pihak. Jika ada
pihak yang tidak bersetuju, beritahulah keputusan kalian secara telus.

Dalam kebanyakan
kes, sekiranya lelaki dan perempuan masing-masing tidak mempunyai pilihan hati,
keadaan tidak menjadi rumit berbanding jika salah seorang telah pun mempunyai
kekasih.

Dalam situasi
tersebut, sebaiknya nyatakan secara verbal dengan calon pilihan ibu bapa anda.
Beliau perlu tahu keadaan anda supaya mudah untuk membuat pertimbangan.

PIKAT
HATI MERTUA

Ingat, jangan
sesekali memaksa diri untuk menerima seseorang yang anda tidak sayang kerana
perkahwinan adalah perjalanan dan perjuangan seumur hidup.

Sekiranya anda
tetap memilih kekasih hati, bersemuka dengan mak ayah dan kongsikan hal yang
terbuku dalam hati.

Sekali lagi saya
tekankan, gunakan bahasa yang lembut dan berhemah. Pujuk mereka untuk bertemu
dengan pilihan hati anda dulu, sama sepertimana anda meminta untuk bertemu
dengan pilihan mereka.

Cubalah bertahan dan kekal
tenang sekiranya ibu bapa membantah dan berkeras. Jangan sesekali melawan sebab
bukan anda yang dipersalahkan, tetapi pilihan hati anda yang akan menanggung
beban. Ini kerana ibu bapa akan mengganggap si dia punca anda melawan dan
menentang kata mereka.

Sekiranya boleh
harapkan seseorang, sebagai contoh abang atau kakak atau bapa saudara yang
boleh bercakap bagi pihak anda, minta bantuan mereka. Pastikan wakil anda
berkenalan dengan calon pilihan anda terlebih dahulu, bersembanglah daripada
hati ke hati.

Wakil anda boleh
mengambil pendekatan menceritakan watak dan sikap calon pilihan kepada ibu
bapa. Khabarkan akan kelebihan yang ada pada calon anda tanpa perlu
membandingkan atau menjatuhkan pilihan ibu bapa.

Pada masa sama,
kekasih pilihan anda juga harus berusaha memikat hati bakal mertuanya. Sebagai
contoh, melalui masakan. Biar secanggih mana sekali pun dunia, air tangan tetap
menjadi penambat hati terutama bakal ibu mertua.

Kena tahu hidangan
kegemaran ibu anda sebab dalam banyak keadaan, ibu yang menjadi ketua
perancangan. Setelah itu, mintalah buah hati anda menyediakan hidangan tersebut
sebaiknya.

Tidak perlu
maklumkan kepada ibu bahawa itu air tangan kekasih anda, sebaliknya jadikan ia
sebagai kejutan. Kemudian minta ibu berikan komen. Jika menepati rasa dan si
ibu berpuas hati, janjilah anda akan kenalkan dengan penyedia hidangan
tersebut.

Pun begitu, jika si
ibu tidak suka, kena ikhtiarkan cara lain pula. Usaha sehingga mak ayah setuju
untuk mengenali bakal menantu atau pilihan hati.

Selain itu, kena
teruskan berdoa tanpa jemu kepada ALLAH MAHA KUASA dengan berkata: “YA ALLAH!
Aku dan dia (sebut namanya) saling mengasihi dan saling mencintai. Kami
berhasrat untuk menghalalkan hubungan ini dalam redha-MU dan dengan restu kedua
ibu bapa kami.

 “Sekiranya
hasrat kami ini adalah yang terbaik, permudahkan segala urusan kami. Bukakan
pintu hati ibu bapa kami untuk menerima dan merestui hubungan kami hingga ke
akhir hayat kami. Namun, YA ALLAH, jika tiada kebaikan dalam hasrat kami ini,
padamkan rasa hati ini dan berikanlah yang terbaik. Amin.

”Kepada mereka yang
sedang berdepan dengan situasi ini, cubalah tip yang saya sarankan.
Insya-ALLAH, DIA akan memberi petunjuk dan mengatur jalan terbaik. Cubalah
bertahan dan kekal berlembut sekiranya ibu bapa membantah dan berkeras. Jangan
sesekali melawan sebab bukan anda yang dipersalahkan, tetapi pilihan hati anda
yang akan menanggung beban. Ini kerana ibu bapa akan mengganggap si dia punca
anda melawan dan menentang kata mereka.”

Sumber Sinar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like
Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak MyTeam Network tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang
diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik
akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik
akaun itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *