HULU BERNAM: Aktiviti menanam pokok hiasan di sekeliling rumah pada waktu lapang menjadikan seorang warga emas, Alpiah Alias, 82, kekal sihat menjalani kehidupan di FELDA Gedangsa, Hulu Bernam, dekat sini.
Alpiah berkata aktiviti menanam pokok hiasan adalah hobi beliau sejak dahulu lagi bagi mengisi masa lapang.
Katanya, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli alatan dan pokok hiasan, itu bukanlah halangan.
“Menanam pokok hiasan juga boleh mengeluarkan peluh seolah kita bersenam sambil menikmati kehijauan pokok.
“Aktiviti ini mampu memberi ketenangan dan terapi minda terutama apabila melihat pokok hidup subur,” katanya.
Usaha beliau menanam pokok hiasan menjadikan kawasan sekeliling rumah sentiasa mendapat perhatian orang ramai yang lalu lalang.
Jadi tidak hairanlah rumah beliau pernah memenangi pertandingan keceriaan rumah pada peringkat FELDA Gedangsa.
Beliau berkata, untuk menambah keceriaan halaman rumah, beliau menggabungkan pokok berbunga dengan tumbuhan berdaun hijau.
“Enam orang anak saya sentiasa memberi sokongan untuk saya menghiasi halaman rumah,” katanya.
Beliau berkata apabila kawasan sekeliling rumah ceria, barulah dapat menikmati permandangan persekitaran yang menarik terutama suasana pada waktu pagi.
sumber;bh online