Pondok jadi tempat berteduh setelah rumah diroboh

TELUK INTAN: Pondok tepi sungai menjadi tempat berteduh buat seorang pesara tentera, Mohamad Anuar Arshad, 65, dan isterinya setelah rumah mereka yang didirikan di atas tanah yang diteroka, dirobohkan oleh syarikat yang memajak tanah tersebut.

Mohamad Anwar memilih tinggal di pondok di tepi Sungai Pahlawan di sini, kerana tiada pilihan setelah rumahnya dibina di atas tanah yang diterokainya dengan tanaman kelapa sawit di Kampung Air Tenang, Tukang Sidin di sini, dirobohkan baru-baru ini.

Katanya, hanya pondok kecil tanpa kemudahan asas terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya yang dirobohkan itu kini menjadi tempat dia berteduh dengan isterinya.

“Setakat ini tak ada pihak yang datang membantu setelah rumah dirobohkan menyebabkan saya kena usaha sendiri untuk hidup bersama isteri.

“Keadaan pondok ini agak usang, terletak di tepi sungai. Memang banyak bahaya dari segi keselamatan terutama ancaman haiwan berbisa.

“Tapi saya tak ada tempat lain untuk dituju, hanya ada pondok ini. Saya pun tak tahu berapa lama akan tinggal di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohamad Anuar, dia dan isterinya menjalani kehidupan tanpa kemudahan asas iaitu bekalan air bersih dan elektrik di pondok itu.

Katanya, untuk mandi dia dan isterinya menggunakan air sungai dan memasak di dalam pondok.

“Perkara yang menjadi kebimbangan saya ialah pondok ini terletak di atas tanah tanah rizab sungai iaitu di bawah pemantau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kesedihan Mohamad Anuar yang terpaksa akur apabila rumah yang duduki selama 20 tahun di tanah yang diteroka bersama penduduk kampung dengan tanaman kelapa sawit, dirobohkan.

Rumah itu dirobohkan setelah tanah tersebut dipajak oleh sebuah syarikat.

Mohamad Anuar adalah antara kumpulan penduduk yang meneroka tanah di kawasan itu yang dianggarkan keseluruhan seluas 62 ekar yang ditanam dengan kelapa sawit sebelum tanah berkenaan dipajak kepada sebuah syarikat.

Kerja meroboh rumah Mohamad Anuar dan dua lagi rumah anaknya di atas tanah tersebut baru-baru ini dijalankan sambil dikawal oleh anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Kehadiran anggota pasukan keselamatan bertujuan memastikan kerja meroboh dijalankan dengan aman selepas pajakan tanah itu kepada sebuah syarikat dibantah oleh peneroka.

sumber ;UTUSAN