Ramai Tak Sedar Tangki Septik Di Rumah Perlu Dikosongkan, Inilah Fakta Yang Perlu Anda Tahu

Tahukah anda dalam negara kita yang pesat dalam industri pembetungan terutamanya bagi sistem pembetungan bersambung, tetapi kita masih lagi mengekalkan sistem pembetungan yang tidak bersambung seperti Tangki Septik Individu (IST) dan Tangki Septik Komunal (CST) dan mengikut rekod, terdapat lebih daripada 1.35 juta buat tangki septik individu keseluruhannya. Negara kita juga turut mengamalkan sistem tradisional lain yang masih digunapakai sehingga kini seperti palong, tandas curah dan sebagainya yang dianggarkan sekitar 870,000 buah.

Apa itu tangki septik individu ? Tangki septik individu adalah tangki yang terletak di bawah tanah tak kira sama ada di bahagian belakang, depan atau tepi rumah anda. Tangki septic yang berfungsi dengan baik akan menerima air sisa kumbahan dan mengumpulkan air sisa daripada aktiviti seharian kita seperti mandi, membasuh pakaian atau pinggan mangkuk dan penggunaan tandas setiap hari. Setiap partikel kasar yang datangnya daripada air sisa yang masuk ke dalam tangki septik akan mendap ke tangki dan air yang bersih akan mengalir keluar berhampiran permukaan atas tangki menuju ke longkang atau parit.

Perlu atau tidak anda kosongkan tangki ini? Ya, perlu. Tangki ini perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua tahun sekali tujuannya bagi mengelakkan enapcemar yang terkumpul di dalamnya menjadi keras.

Enapcemar yang terkumpul dalam tangki septik itu sudah pasti akan memenuhi ruang di dalam tangki dan seterusnya akan mengakibatkan air sisa kumbahan yang baru dilepaskan daripada rumah atau bangunan terus keluar tanpa rawatan. Apabila ini berlaku air sungai akan turut tercemar sehingga boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, dan Hepatitis A. Jika kita minum air yang tercemar, kebarangkalian untuk mendapat cirit-birit adalah sangat tinggi dan mungkin akan mengakibatkan kegagalan organ penting seperti buah pinggang yang boleh membawa maut.

Bolehkah anda kosongkan tangki septik ini sendiri? Tidak, kerana itu anda memerlukan perkhidmatan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (Indah Water) untuk membuat kerja-kerja pengosongan secara berjadual. Dalam hal ini Indah Water menjalankan perkhidmatannya mengikut standard dan piawaian tinggi yang telah ditetapkan.

Berdasarkan infografik yang dikeluarkan oleh Indah Water, lihat bagaimana kesan yang berlaku sekiranya pemilik tangki septik dan tangki tandas tradisional yang tidak melakukan pengosongan mengikut jadual. Impaknya sangat besar kepada kesihatan masyarakat melalui wabak penyakit bawaan air yang mungkin membawa maut. Negara akan kerugian besar apabila rakyatnya dilanda bencana dan meninggalkan kesan buruk kepada kestabilan ekonomi.

 

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang memiliki tangki septik dan tangki tandas tradisional ini disarankan untuk melakukan segera pengosongan tangki septik masing-masing tanpa apa-apa alasan lagi. Indah Water kini sedang menjalankan kempen pengosongan tangki septik dan melancarkan peraduan “Sedut Dan Menang” untuk menggalakkan orang ramai mengosongkan tangki septik dan tandas tradisional di premis masing-masing. Kempen ini sudah berlangsung sejak 1 April 2019 dan akan berakhir pada 30 September 2019. Pemilik tangki yang menyertai peraduan ini berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti pakej melancong ke Korea Selatan atau pakej menunaikan ibadah Umrah serta beberapa lagi hadiah menarik seperti motosikal, barangan elektrik dan jongkong emas.

Selaku pemilik tangki septik dan tangki tandas tradisional, lakukan tanggungjawab anda segera dan rebutlah peluang untuk memenangi pelbagai hadiah daripada Indah Water apabila anda membuat pengosongan tangki septik. Untuk maklumat lanjut, lawati laman sesawang www.iwk.com.my atau muat turun aplikasi Indah Water melalui Apple Store atau Play Store.

Jadi, perlukah pengosongan tangki septik? Jawapannya pasti, kerana kita semua perlu menjalankan tanggungjawab kita, bukan sahaja untuk kepentingan alam sekitar tetapi juga demi generasi muda yang akan merasai kesan daripada tabiat kita hari ini.

sumber;metro