Ramai tak tahu belalang sebenarnya sedap, Rasulullah SAW pun makan semasa perang

 PERKONGSIAN tentang snek belalang yang kini dijual secara dalam talian di Malaysia menggamit memori ramai pengguna di Facebook tentang sajian eksotik itu.

Rata-rata mereka mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak yang pernah menyediakan sajian belalang dengan cara tersendiri.

Seorang pemilik akaun, Abdul Rahim Muhammad Nor berkongsi rasa tentang sajian belalang goreng.

“Belalang kunyit bakar sedap, mereka yang membesar di kampung tahu rasanya,” tulisnya.

Ani Kie pula berkongsi kisah sering makan belalang goreng semasa kecil.

“Saya pernah makan dulu masa kecil, selepas banjir selalu dapat belalang semasa pergi menebas di jelapang padi.

“Sedap digoreng kunyit, terasa mahu makan lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Khairil Hisham pula berkongsi, belalang sudah menjadi makanan snek orang dahulu terutama yang mengusahakan sawah padi.

“Orang dulu-dulu sudah lama makan belalang, yang biasa duduk sawah memang sering makan.

“Generasi sekarang sahaja yang tidak tahu belalang ini sedap,” kongsinya.

Dalam pada itu, Nur Haida Yana pula berkongsi dalil memakan belalang yang menurutnya harus di sisi Islam.

“Hukum makan belalang secara umumnya adalah harus, dan ia disebut dalam banyak hadith, antaranya riwayat daripada Abu Ya’fur R.A, yang bermaksud;

“Aku bertanya ‘Abdullah bin Abi Aufa tentang membunuh belalang, dia menjawab: “Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam kali, dan kami memakan belalang,” jelasnya. — Majoriti