Resipi Buko Pandan. Manisan Dari Filipina Yang Sangat Sedap

Jom cuba buat Buko Pandan ni untuk minum petang. Katanya menu manisan ini asalnya dari Filipina. Wow..Nampak menarik dan sedap kan? Kombinasi pelbagai bahan ditambah pula ais. Pasti sangat enak jika dinikmati sejuk lebih-lebih lagi jika cuaca panas membahang. Jom cuba resipi perkongsian saudari Senz Ahmad ni. Pasti puas hati.

CARA MEMBUAT BUKO PANDAN YANG MUDAH & SEDAP

BAHAN-BAHAN:

Serbuk agar-agar
Sagu putih
Isi kelapa muda
Nata de coco
Susu cair @susu sejat
Susu pekat manis
Perwarna hijau
Ais

CARA MEMASAK:
1. Masak agar-agar mengikut arahan dibelakang bungkusan dan masukkan sedikit pewarna hijau.
2. Apabila telah masak, biarkan agar-agar keras. Potong dadu ikut saiz yang dikehendaki.

3.Dalam periuk berlainan, didihkan air terlebih dahulu dan masukkan sagu putih. Sagu tidak perlu dibasuh. Elakkan mengacau dengan kerap supaya sagu tidak pecah.
4. Apabila sagu sudah masak, tapiskan sagu dan lalukan dibawah air untuk hilangkan kanjinya. Toskan seketika.
5. Masukkan sagu ke dalam mangkuk dan titiskan pewarna hijau. Biarkan dalam 5 minit. Kemudian tapis semula dan lalukan sekali lagi dibawah air untuk membuang lebihan pewarna.
6. Potongkan isi kelapa halus-halus atau potong ikut saiz yang disukai. Air kelapa tidak perlu diambil.

7. Nata De Coco pula ditapis dan diambil isinya sahaja.

8. Campurkan susu cair bersama susu pekat. Kemanisannya ikut cita rasa masing-masing. Titiskan beberapa titik pewarna hijau dan panaskan seketika di atas api. Biarkan sejuk. Kemudian tuang ke dalam bekas berisi bahan-bahan lain.

9. Untuk menikmatinya, masukkan ais dan bolehlah dihidangkan.

PETUA ELAK SAGU BERKETUL:
Sagu yang sudah siap dimasak jika disimpan lama akan jadi berketul-ketul. Petua untuk meleraikannya adalah masukkan sagu ke dalam penapis dan basuh dengan air. Kacau perlahan-lahan dan leraikan. Kemudian bolehlah dimasukkan ke dalam Buko Pandan.

Kredit resipi & foto: Senz Ahmad