Risiko haiwan berbisa pada musim hujan

SENGATAN binatang berbisa seperti lipan, kala jengking, lebah dan ular adalah antara risiko terutama ketika cuaca hujan.

Dalam keadaan banjir misalnya atau persekitaran rumah yang hampir dengan belukar atau semak-samun, sikap berwaspada ibu bapa penting dalam menyelamatkan nyawa anak.

Jangan ambil mudah walaupun anak mungkin hanya disengat tebuan. Walaupun mungkin sedikit, adalah lebih baik anak dirujuk ke klinik berhampiran.

Menyapu minyak gamat atau sebarang minyak herba lain mungkin boleh membantu mangsa, namun ia perlu disusuli dengan rawatan daripada pakar.
Menurut laman web Pusat Racun Kebangsaan, Universiti Sains Malaysia (USM), sengatan binatang berbisa memberi reaksi berlainan mengikut individu.

BISA ular akan meracuni tubuh mangsa dan menyebabkan kekejangan abdomen yang serius.
Bisa sengatan atau gigitan juga bergantung kepada jenis serangga atau binatang yang menyerang.

Jika terkena sengatan, dua risiko paling teruk akibat kesan gigitan atau sengatan adalah alahan yang boleh membawa maut dan jangkitan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai antibodi yang kuat dan hipersensitif, sengatan binatang berbisa boleh menyebabkan reaksi alahan yang sangat teruk.

Kesannya mangsa boleh meninggal dunia dalam tempoh kurang 20 minit jika tidak dirawat.

Jika serangan setempat dan tidak merebak ke kawasan lain, rasa sakit juga surut, sengatan itu tidak berbahaya.

Tetapi bagi individu lain, sengatan itu mungkin menyebabkan jangkitan.

Mengikut pecahan binatang paling berbisa, ular menduduki tempat pertama yang berada dalam tiga kategori iaitu keluarga ular air (sea snake), keluarga ‘elapid’ dan keluarga ‘viper’.

Ular air paling berbisa kerana spesies ini juga boleh hidup di darat.

Sengatan ular air meracuni tubuh mangsa, menyebabkan kekejangan abdomen yang serius.

Mangsa mengalami kesan kesakitan yang sangat serius dan boleh meragut nyawa dalam tempoh dua jam hingga 12 jam. Paling menggerunkan, sengatan ular air tidak ada antivenom.

JIKA disengat haiwan berbisa, rujuk segera ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal.
Sengatan ular daripada spesies elapid pula berupaya melemahkan otot mata dan dengan bengkak yang kecil, kegagalan pernafasan dan boleh menyebabkan kematian dalam tempoh 48 jam jika tidak dirawat. Tetapi gigitan ular keluarga elapid memiliki antivenom.

Gigitan ular daripada keluarga viper menyebabkan kelumpuhan, pendarahan diikuti dengan renjatan pada tubuh dan membawa kematian dalam tempoh 72 jam jika tidak dirawat. Gigitan ular keluarga Viper juga memiliki antivenom.

Bagi cara tradisional pula adalah dengan menggunakan bawang putih dan madu lebah. Bakar bawang putih, kemudian ditumbuk sehingga lumat lalu digaul dengan madu dan ditampal pada kesan yang dipatuk.

Sengatan kala jengking, lipan, labah-labah dan tebuan boleh menyebabkan anafilaksis (alahan teruk dan boleh membawa maut) bagi sesetengah orang.

Tapi selalunya mangsa hanya mengalami jangkitan setempat yang ditandai dengan rasa sakit, bengkak, kemerahan dan gatal.

Sebagai langkah awal rawatan, jika kesan sakit mencucuk, anda boleh menggunakan tembakau.

Ambil sedikit tembakau, kunyah dan perah airnya ke tempat yang kena gigit. Jika tiada tembakau, anda boleh guna asam jawa. Ambil air perahan biji asam jawa dan sapu ke tempat yang sakit. Lakukan secara berulang kali.

Jika sakit berterusan, dapatkan rawatan segera ke klinik berhampiran.

Jika sengatan berbisa berlaku

Jangan alih atau gerakkan mangsa. Bisa bergerak dengan pantas menerusi pergerakan.
Basuh bekas sengatan.

Ikat kemas dan kuat kawasan yang disengat atau digigit.
Balut seluruh bahagian gigitan.
Dapatkan rawatan doktor dengan segera.
Bila perlu mendapatkan rawatan?

Sengatan menyebabkan rasa sakit, bengkak, merah dan gatal.
Jangkitan setempat seperti gatal, bengkak, kemerahan dan kesakitan yang merebak. Rasa sakit juga bertambah.
Rasa sakit bertambah, bengkak semakin besar untuk beberapa hari.
Jika anda pernah berhadapan masalah alahan kerana sengatan serangga berbisa.
Bengkak dan ruam seluruh badan, sukar bernafas atau rasa tercekik. Kepala pening atau pitam.

sumber ;bh online