Sabar je la! Pengasuh baik sangat, bayi tak nak balik dari taska… ibu pasrah yang penting anak wangi, badan ‘clear’ tiada kesan cedera

 MAMI jemput pun tak layan.”

Seorang ibu cuba ‘memujuk’ anak kecilnya yang dilihat seperti tidak mahu melepaskan dari dakapan pengasuh di hadapan sebuah Taska.

Nampak kasihan, namun situasi ibu yang mahu menjemput anaknya pulang itu sebenarnya mengundang tawa kebanyakan netizen menerusi video yang dimuat naik di TikTok @gelagatfamily.

Berkongsi cerita kepada mStar, Nur Alia Shuhada Shafie berkata, anak sulungnya, Nur Elisa Inara Muhammad Hazry kini berusia lapan bulan.

Wanita berusia 28 tahun itu memberitahu, dia dan suami, Muhammad Hazry Hazmi, 30, menghantar anak mereka ke sebuah Taska di Puchong, Selangor sejak usianya dua bulan.

“Selepas pantang, saya terus hantar anak ke Taska. Alhamdulillah, anak saya tak pernah menangis atau meragam seperti sesetengah kanak-kanak lain apabila hantar ke Taska.

“Keadaan anak yang memeluk pekerja Taska macam tak nak pulang tu bukan pertama kali, sebenarnya dah banyak kali berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Anak sulung dihantar ke Taska sejak usia dua bulan.

Tidak seperti apa yang sering digambarkan sesetengah ibu bapa berkaitan masalah pengasuh, Alia bersyukur kerana anak perempuannya selesa ditempatkan dan dijaga di Taska tersebut.

“Anak bukan tak nak balik sampai melaung atau tantrum. Dia setakat nak ‘menyakat’ saya yang datang jemput untuk balik ke rumah.

Hargai pekerja Taska tau pengasuh dengan pemberian reward (ganjaran) kerana menjaga anak-anak kita dengan baik.

“Sebagai ibu, tentunya risau apabila hantar anak seawal usia dua bulan ke Taska. Mesti fikir keadaan anak sewaktu saya dan suami pergi bekerja.

“Setiap kali jemput dari taska, wajahnya ceria, bersih dan wangi dah mandi siap rambutnya digayakan begitu cantik… paling penting badan dia ‘clear’ tiada sebarang tanda, itulah yang paling menggembirakan bukan saja saya, bahkan mana-mana mak ayah yang hantar anak ke Taska,” ujarnya yang berasal dari Raub, Pahang.

Bekerja dalam bidang jualan dan latihan, Alia mengakui kaedah penjagaan, pendidikan dan kemudahan yang baik termasuk kredibiliti pekerja Taska menyumbang kepada keselesaan anaknya yang dijaga tanpa kehadiran ibu bapa.

“Anak seronok ada ramai kawan di Taska. Zaman sekarang kebanyakan ibu bapa bekerja, kurang masa dengan anak-anak tapi itulah realiti yang berlaku kinj.

“Walaupun di rumah hanya ada saya dan suami, tapi bukan bermakna anak tak dilayan. Masa yang ada itulah kami gunakan sebaik-baiknya,” katanya sambil menambah sering membawa anaknya keluar bersiar-siar.

Nur Elisa Inara mempunyai perwatakan ceria.

Mempunyai perwatakan ceria dan tenang, Alia yang mendirikan rumah tangga sejak 2021 berkata, anaknya turut dikunjungi ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Nenek atuk dia dari Ampang, Selangor dan Raub sentiasa datang melawat. Selain kami mak ayahnya, rumah sentiasa meriah dengan kehadiran keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya lagi.

Alia sekeluarga bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza (kiri) dan Datuk Seri Khalid Mohamd Jiwa atau Datuk K (kanan) ketika sambutan Hari Raya.

Bersyukur kerana anak dijaga dengan baik di Taska, Alia turut menganggapnya sebagai salah satu rezeki yang mana ibu bapa tidak seharusnya mengambil kesempatan.

“Bila dah ada pengurusan Taska atau pengasuh jaga anak dengan baik, mak ayah janganlah ambil kesempatan dengan hantar anak-anak lebih masa, sampai malam baru datang ambil.

“Pekerja Taska atau pengasuh pun manusia, mereka juga perlukan rehat. Kena ada give and take. Bukan senang nak dapat pekerja Taska dan pengasuh yang betul-betul bagus.

“Ibu bapa boleh menghargai mereka dengan pemberian reward (ganjaran) menjaga anak-anak kita dengan baik. Itu juga salah satu cara kita berkongsi rezeki,” katanya.