Salah Satu Penemuan Terbesar Dalam Sejarah Fosil Britain, Rangka ‘Naga Laut’ Sepanjang 32 Kaki Ditemui Di UK

Seekor ‘naga laut’ gergasi yang ditemui di Midlands telah ditabalkan sebagai salah satu penemuan terbesar dalam sejarah fosil Britain.

Ichthyosaur, yang ditemui di bahagian bawah kawasan Rutland Water itu merupakan rangka terbesar dan paling lengkap pernah ditemui di UK. Ia berukuran sepanjang 32 kaki (10 meter) dengan tengkorak seberat satu tan.

Spesimen yang hidup kira-kira 180 juta tahun lalu itu, ditemui di takungan terbesar di England ketika ahli pemuliharaan mengalirkan air untuk memulihara habitat untuk pembiakan burung.

Joe Davis, 48 dari Leicestershire dan Rutland Wildlife Trust, yang menemui rangka itu berkata, rakan sekerjanya menyangka rabung yang mereka lihat di dasar takungan berlumpur itu hanya paip.

“Apabila ahli paleontologi dan pasukan kami menemui rangka penuh dan mengangkatnya keluar menggunakan traktor dengan pemuat, kepala rangka itu adalah sebesar saya, iaitu setinggi enam kaki. Ia adalah binatang yang hebat.

Ichthyosaur dipercayai merupakan spesies yang dipanggil Temnodontosaurus trigonodon. Namun jika ianya didapati sebagai spesies baru, ia bakal dinamakan sempena dengan Encik Davis.

Dr Dean Lomax, seorang pakar dunia mengenai ichthyosaur dari Universiti Manchester yang menghabiskan 14 hari menggali fosil itu, menganggapnya sebagai ‘salah satu penemuan terbesar dalam sejarah paleontologi Britain’.

“Walaupun banyak fosil ichthyosaur ditemui di Britain, adalah luar biasa untuk terfikir bahawa Rutland ichthyosaur adalah rangka terbesar yang pernah ditemui di UK”, jelasnya.

Ichthyosaur, yang merupakan reptilia marin, pertama kali muncul sekitar 250 juta tahun dahulu dan telah pupus 90 juta tahun dahulu. Ia berbeza-beza dari segi saiz, iaitu dari satu hingga lebih 25 meter panjang dan menyerupai ikan lumba-lumba dalam bentuk badan fizikalnya.

Rangka itu telah digali oleh sepasukan pakar paleontologi dari seluruh UK pada Ogos dan September. Dua ichthyosaur yang tidak lengkap dan lebih kecil ditemui semasa pembinaan awal Rutland Water pada tahun 1970-an.

Walau bagaimanapun, penemuan terbaru itu adalah rangka lengkap pertama yang pernah ditemui.