Seakan Ular Gergasi Bertukar Jadi Batu, Cerita Tentang ‘Batu Nabau’ Di Sarawak Yang Ramai Tak Tahu

Jika dulu-dulu, kita pernah disajikan dengan beberapa cerita rakyat berkisarkan kisah keluarga, sumpahan dan alam. Antara cerita yang cukup terkenal adalah kisah batu-belah batu bertangkup, si tanggang dan banyak lagi.

Tapi percaya atau tidak, ada sebuah batu besar terletak jauh dalam hutan pedalaman di Sarawak yang memiliki rupa fizikal yang unik, selain turut mempunyai pantang larangnya sendiri.

Nak tahu apakah batu unik itu? Jom baca perkongsian di laman Facebook Bernama seperti di bawah ini.

Gambar: Mustaqim Khairuddin via Bernama
“Dilarang membuang telur dan menyiram air susu. Tidak boleh meminta nombor ekor, hanya boleh memuja untuk kesejahteraan.”

Kedengaran pelik namun notis ini terpampang jelas beberapa kali sepanjang 15 minit perjalanan melalui denai ke Batu Nabau yang terletak di Engkilili, kira-kira 230km dari Kuching.

Berbentuk silinder menjangkau sembilan meter panjang dan diameter dua meter, formasi pangkal batu seperti ular gergasi keluar dari tanah membuatkan ramai yakin ia seekor ular yang bertukar jadi batu.

Pelbagai misteri dikaitkan dengan Batu Nabau, termasuk ia kononnya jelmaan Dewa Ular yang melindungi kawasan dengan kuasa mistik. Malah penduduk tempatan menyedari batu itu tidak pernah terendam walaupun ketika seluruh kawasan tersebut digenangi air.

Yang menariknya, tuai rumah panjang berdekatan, Jenny Anak Elong, generasi ke-13 menetap di situ menyatakan penduduk tempatan hanya menyedari kewujudan batuan aneh sekitar awal tahun 2000 selepas seorang lelaki berketurunan Siam mencarinya setelah mendakwa melihatnya di dalam mimpi.

Sehingga kini belum ada kajian khusus dilakukan ke atas Batu Nabau dan semenjak pandemik melanda, tarikan ini semakin sepi ditinggalkan pengunjung.