Bertugas sebagai
jururawat, bermacam-macam gelagat pesakit yang saya saksikan. Banyak
daripadanya juga memberi tauladan dalam kehidupan. Salah satu yang masih saya
ingat ialah kisah seorang lelaki tua.
Kisah ini sudah
lama berlaku, lebih sedekad yang lalu. Ketika itu, hospital tempat saya
bertugas menerima seorang pesakit lelaki. Usianya penghujung 60-an.
Apa yang saya
dengar, pak cik ini daripada keluarga berada. Anaknya berpangkat besar. Pak cik
ini dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kanser usus selain kencing
manis dan darah tinggi. Dia juga kelihatan terlalu uzur. Mungkin sebab sudah
tua, tangannya sentiasa menggigil.
Selama berada di
hospital, jarang sekali saya melihat anak-anaknya datang melawat. Saudara-mara
dan sahabat handai jauh sekali untuk menjenguknya. Saya juga mendapat tahu,
isteri pak cik ini telah meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu.
Suatu hari, menantu
perempuan pak cik ini yang berpangkat Datin datang melawat. Apabila Datin ini
datang, bermacam-macam perkara yang tidak berkenan di matanya. Apa saja yang
jururawat lakukan serba tidak kena.
Lambat beri makan,
kena marah. Jururawat tak pandai suap, kena leter. Makanan tak sedap, kami kena
bambu. Menantunya memang cerewet dan menyakitkan hati saya serta rakan-rakan
setugas.
Akibat tidak tahan
selalu dimarahi, saya dan beberapa orang jururawat senior menugaskan seorang
jururawat pelatih bernama Liza untuk melayan pak cik tersebut. Biasanya
begitulah cara jururawat senior hendak menyelamatkan diri.
Sejak itu, Liza
bertanggungjawab melayan pak cik tersebut dengan penuh mesra. Mandi, makan dan
minum pak cik itu dijaga serapi mungkin.
Suatu hari, ketika
Liza sedang menyuapkan nasi, tiba-tiba pak cik itu menangis. Liza bertanya
kenapa dia menangis? Pak cik tersebut memberitahu, dia terharu dengan layanan
Liza.
Pak cik itu
bercerita, seumur hidupnya sekalipun dia tidak pernah mendapat layanan sebegitu
istimewa daripada anak-anaknya. Jangan kata hendak suapkan makanan, hendak
menjaganya sepanjang uzur pun susah. Semua anak-anaknya sibuk dengan kerja
masing-masing, siang dan malam.
Tapi, di hospital
ini, pak cik itu berasakan layanan Liza lebih daripada kasih sayang anak
kandungnya sendiri. Pak cik tersebut beritahu lagi, dia gembira kerana sebelum
menutup matanya, sekurang-kurangnya dia dapat merasai nikmat dijaga jururawat
yang dianggap seperti anak sendiri.
Esoknya, ketika sedang bertugas, pak
cik tersebut meminta saya memanggil Liza masuk ke biliknya. Agak lama pak cik
itu berbual-bual dengan Liza. Daripada cerita Liza, saya mendapat tahu pak cik
tersebut mahu sampaikan wasiatnya kepada Liza.
Apakah wasiat pak
cik itu kepada Liza? Saya sendiri tidak tahu. Liza tidak pernah ceritakan
kepada saya. Tapi, apa yang menyedihkan, Liza beritahu saya, pak cik tersebut
seolah-olah tahu ajalnya sudah tiba.
Pak cik itu kata, dia
akan meninggal pada hari berkenaan. Pak cik itu sebenarnya ingin mati di sisi
anak-anaknya. Dia mahu anak-anak mengajarnya mengucap ketika sedang nazak dan
mengkiamkan tangannya apabila sudah meninggal dunia. Tetapi anak-anaknya sibuk
dengan kerja masing-masing.
“Nak, tolong
ajarkan pak cik mengucap…” Sebelum meninggal, pak cik tersebut minta Liza
sendiri mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah. Liza pun bisikkanlah kalimah
suci di telinga pak cik itu sehinggalah nafasnya terhenti.
Saya yang mendapat tahu
berita kematian pak cik itu terus bergegas ke bilik tersebut. Waktu itu, saya
lihat air mata pak cik tersebut masih mengalir dari kelopak matanya.
Saya sedih, hajat
untuk menatap wajah anaknya di saat akhir tidak kesampaian. Saya lihat,
jari-jemari orang tua itu masih menggenggam erat tangan Liza, seperti ingin
mengucapkan rasa terima kasih kerana telah menjaganya seperti ayah kandung
sendiri.
Liza juga menangis
kerana sedih dengan pemergian pak cik itu. Saya turut sebak bila mengenangkan
nasib yang menimpa orang tua itu. Hari itu juga mayat pak cik tersebut
diuruskan oleh pihak hospital. Tapi saya tidak tahu di mana jenazahnya
dikebumikan.
Memang sedih,
mengenangkan kisah pak cik ini. Apalah ertinya membela dan membesarkan
anak-anak jika mereka tidak berada di sisi, pada saat-saat kematian.
Saya teringat hadis
Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apa bila mati anak Adam (seseorang),
maka putuslah hubungan dengan dunia, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah
jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.”
**Kisah
di atas diceritakan oleh seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai
Rodziah berdasarkan pengalamannya bertugas di salah sebuah hospital di Kuala
Lumpur.
Sumber Jururawat
Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Pihak MyTeam Network tidak
bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini.
Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.