Sejak kecil main tepung, mentega… kanak-kanak usia 8 tahun bergembira dahulu, tangguh seketika hasrat jadi cef kerana masih ‘takut api’

KETIKA rakan sebayanya bermain permainan video, kanak-kanak yang baru berusia lapan tahun ini dilihat lebih gemar bermain dengan tepung dan mentega.

Malah, bahan-bahan tersebut sebenarnya menjadi antara mainan Muhammad Hadif Mohd Iqbal sejak dia berusia empat tahun lagi.

“Dia nak jual (biskut), nak kumpul duit katanya, akak ni masa umur dia main lumpur lagi,” seloroh ibu Hadif, Siti Nuraliana Zulaikha Olivia.

Mesra dipanggil Kak Siti, wanita berusia 41 tahun yang berkerja sebagai baker dari rumahnya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, anaknya itu mula menunjukkan minat sejak kecil lagi.

“Dari umur empat tahun dia dah suka main tepung, main butter, setiap kali buat roti dia akan minta adunan tepung dan sama-sama menguli dengan akak.

“Dia mula belajar peralatan baking masa umur enam tahun, akak yang biasakan dia dengan alat-alat tu, kemudian sikit-sikit dia belajar adun brownies,” katanya.

Hadif mula menggunakan peralatan baking sejak berusia enam tahun.

Bercita-cita untuk menjadi seorang cef suatu hari nanti, Hadif bagaimanapun dikatakan masih takut dengan api.

“Akak belum lagi ajar dia memasak sepenuhnya (lauk pauk) sebab dia takut api, kalau setakat masak nasi tu boleh,” katanya.

Menurut Kak Siti, sebagai seorang ibu, dia berasa gembira serta terharu melihat kesungguhan anaknya untuk mendalami bidang yang diceburinya hampir tujuh tahun lepas.

“Bila nampak anak suka dan buat sesuatu yang berfaedah untuk diri dia akak sangat gembira dan terharu, lebih-lebih lagi dia minat dengan apa yang akak buat selama ini.

“Rasa macam tak percaya pun ada sebab dia ada kesungguhan nak buat kemudian dia kata nak jual untuk kumpul duit.

“Bukan senang nak pupuk minat anak ke arah sesuatu yang orang dewasa selalu buat,” katanya.

Sebagai seorang ibu, Kak Siti berkata, dia cuba sedaya upaya untuk membantu anak bongsunya itu dengan menghantarnya ke kelas belajar membuat biskut dan roti.

“Bila dia dah mula tunjuk minat untuk baking akak saja hantar dia pergi kelas buat biskut dan roti bagi dia seronok dan bercampur dengan kawan-kawan.

“Akak juga beli perkakas dan alat bakeri yang sesuai dengan umur dia.

“Akan datang kalau dia betul-betul suka dan cukup bersedia akak akan hantar dia masuk kelas khas untuk baking, macam junior baking class tu, dari umur sekarang sehingga 17 atau 18 tahun,” katanya.

Hadif menyertai kelas belajar membuat biskut dan roti.

Jelasnya, pelajar akan didedahkan dengan teknik asas baking seperti belajar tentang tepung, mentega, overn dan yang berkaitan.

Namun bagi Kak Siti buat masa ini apa yang penting adalah untuk anaknya itu bergembira terlebih dahulu.

“Memandangkan umur dia baru lapan tahun akak nak buat dia rasa yang baking ni seronok, tak nak dia stres pasal tempahan.

“Dia sudah mula ada tempahan dan Alhamdullilah orang dah mula beli biskut yang dia buat dan dia rasa lagi semangat nak baking.

“Terima kasih dekat sahabat yang sokong Hadif yang bagi komen, ucapan dan doa yang baik-baik, semua komen dan ucapan akak bagi dia baca, dia happy sangat sebab ramai yang suka tengok video dia buat cookies dan akak harap minat baking dia berpanjangan dan boleh sambung belajar dalam bidang yang dia suka,” katanya.