Sekilas pandang serius tak nampak…” Renjer hutan kongsi sebab perlu guna trek tersedia, jika tidak bahaya menanti

KESELAMATAN adalah salah satu faktor penting ketika melakukan aktiviti rekreasi. Berada di ‘kediaman’ haiwan berbisa dan buas, kita tidak seharusnya bertindak sesuka hati.

Aktiviti rekreasi seperti mendaki, perkhemahan dan kembara hutan (jungle tracking) adalah yang semakin popular sejak peralihan fasa pemulihan negara.

Perkongsian daripada seorang Renjer Hutan yang juga pengguna TikTok @p.sharon.j ini amat berguna bagi korang yang merancang melakukan aktiviti di hutan.

Menurut Sharon, ketika melakukan aktiviti di hutan dan taman rekreasi, penting bagi pengunjung untuk menggunakan trek yang disediakan.

“Saiz standard trail bersih dan luas. Jika didepakan tangan, kamu tidak akan tersentuh mana-mana tumbuhan. Lain tempat, lain standardnya. Ini adalah saiz standard di tempat kami.

“Bila ada trek, pastikan kamu berjalan pada trek setiap masa untuk mengelakkan terkena duri, disengat tebuan dan haiwan berbisa seperti ular.

“Kalau dilihat sekilas pandang memang tidak akan perasan ular berkenaan. Ia sebenarnya tidak jauh daripada laluan yang disediakan,” katanya sambil menunjukkan seekor ular kapak berwarna hijau pada dahan pokok.

Dalam pada itu, Sharon turut mengingatkan kepada mereka yang tidak biasa di hutan agar tidak sesuka hati melalui jalan sendiri (off track) untuk mengelakkan kemudaratan.

Rata-rata warganet memuji aksi berani Sharon berdiri berdekatan ular kapak, bahkan tidak gentar menudingkan jari kepada ular berkenaan.

Selain itu ramai yang menghargai penerangan tersebut yang disifatkan sebagai ilmu hutan yang sangat berguna.

Untuk pengetahuan korang, ular kapak hijau atau ‘Green Tree Pit Viper’ mudah dijumpai di atas pokok di kebun getah, ladang, kampung dan hutan.

Justeru, kita disarankan memakai kasut yang menutup kaki dan seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak dan hutan.

Sumber: TikTok @p.sharon.j