Setiap antara kita tentu ada kisah hidup yang unik dan tersendiri. Begitu juga buat suami ini, apabila keseronokkanya adalah dengan memasak hidangan untuk keluarganya.
Atas alasan ini juga, membuatkan dirinya tidak kisah untuk bangun seawal jam 5 pagi setiap hari semata -mata untuk menyediakan hidangan untuk dijadikan bekalan anak-anak ke sekolah.
Mengetahui lanjut kisah suami yang luar biasa ini, bolehlah dijadikan inspirasi kepada kita.
Ini perkongsiannya.
Ini rahsia saya…
“Bangun pukul berapa nak masak-masak sarapan pagi dan bekal sekolah ni?” ini satu soalan yang selalu ditanyakan.
“Bangun awal, tak rasa penat ke? Makan apa supaya tak rasa mengantuk apabila kerja….” juga salah satu soalan paling popular.
Jawapannya,
1) Bangun awal. Jam berapa? Saya cerita di bawah.
2) Kalau tak penat tu bukan manusialah. Mestilah kepenatan itu wujud dan dirasa. Tetapi bukan penat itu yang sebenarnya patut difikirkan…
Begini ceritanya,
Sekitar bulan November hingga Disember 2017, kami sedang menyiapkan barang persekolahan Along ST yang akan melangkah ke Tahun 1 pada Januari 2018, ketika itu saya fikir apabila Along mula bersekolah, anak ketiga kami Aboy (akan) berusia 1 tahun 1 bulan, masih menyusu badan.
Sebagai seorang ayah, saya mahu anak ke sekolah dengan bersarapan terlebih dahulu di rumah sebelum ke sekolah. Malah, saya fikir, bekalkan anak dengan makanan dari rumah adalah lebih baik daripada membeli makanan di kantin/luar.
Setiap Pagi Bangun Awal Untuk Masak. Suami Ni Kongsi Rahsianya. Memang Awesome Sangat!
Namun, sebagai seorang suami, saya tidak rasa idea untuk membiarkan isteri saya bersusah di dapur dengan kapasiti Aboy yang masih menyusu badan itu adalah idea yang baik. Maka, saya buat keputusan lebih baik saya yang memasak sarapan sekaligus bekal untuk anak sekolah.
Thus, the struggle begins.
Susah pada mulanya, tetapi setelah terbiasa, jadi ringan, mudah dan sekarang (setelah lebih 2 tahun melakukannya), saya jadi seronok! Subhanallah.
Rahsia saya,
1) Bangun pagi ikut ‘menu’ makanan yang akan dimasak.
Ada menu yang susah atau memakan masa untuk memasaknya (contoh kek, perlu bakar atau kukus lama), maka saya bangun sekitar 4.30 atau 4.45 pagi
Ada menu yang senang (contoh nasi goreng), saya bangun sekitar 5 atau 5.15 pagi.
Ada menu yang boleh dimasak dengan cepat tetapi penyediaan bahannya agak cerewet (contoh nak buat mi kari atau potato salad), ada bahan-bahan yang saya sediakan malam sebelum tidur dan bangun sekitar 5 pagi esoknya untuk memasak.
Ada masanya ‘terbabas’ maka kelam-kabutlah memasak, tetapi Alhamdulillah Allah mempermudahkan semua urusan.
Ya, saya rancang apa nak masak esok paginya pada petang atau malam sebelum itu. Dah ada idea dah, jadi senang. Paginya bangun terus masak, tak perlu mengelamun cari idea .
2) Menunaikan solat sunat, sekurang-kurangnya 2 rakaat, sebelum mula memasak.
Sedar dari tidur, bangun, cuci muka dan ambil wudhu’, tunaikan solat. Sekurang-kurangnya 2 rakaat.
Biasa saya buat 2 rakaat solat sunat tahajjud. Jika ada masa, tambah 2 rakaat solat sunat taubat. Jika masih ada masa, tambah 2 rakaat solat sunat hajat. Dan ‘tutup’ dengan solat sunat witir, ikut keadaan.
Percayalah kata saya, pagi yang dimulakan dengan solat qiyamullail itu buat saya cergas, bertenaga, seronok, gembira dan tak penat, bukan sekadar masa memasak pagi sahaja, tetapi sepanjang hari.
Berbeza sangat dengan pagi/hari tak buat solat sunat, ada je benda tak kena. Penat tu salah satu benda yang berlaku. Rasa lemah badan. Terkadang jadi moody, tak ada mood.
Tetapi hari solat, tak rasa susah pun. Kita minta Allah mudahkan urusan kita, maka Allah mudahkan. Subhanallah.
Jadi 5 hari anak-anak bersekolah, maka sekurang-sekurangnya 5 pagi/malam/hari saya dapat tunaikan qiyamullail. Dulu agak payah juga, sekarang mudah. Dah jadi rutin.
Jangan risau, memang sempat je ke surau atau masjid. Mahu atau tak mahu je.
3) Masak resepi yang ringkas, bagi saya. Saya tak suka komplikated, maka saya customize resepi ikut selera kami sekeluarga sahaja.
Orang lain masak bihun goreng letak itu ini, wajib blend cili kering segala bagai, saya pilih resepi bihun goreng Singapura yang tak perlu guna cili kisar tetapi sekadar bawang dan black pepper saja. Orang lain masak spageti sos tomato kena buat itu ini jadi rumit, saya pilih memasak spegati aglio e olio yang guna minyak zaitun, chilli flakes dan bawang putih je. Pilih yang memudahkan.
4) Saya kongsi di Facebook, dengan tujuan mahu naikkan semangat sendiri.
Saya share gambar, celoteh atau resepi, ada orang Like dan Komen, saya rasa seronok. Tak kisahlah walaupun tak ramai yang Like, saya anggap perkongsian saya tak negatif, tak buruk, of course niat LillahiTaala, maka saya share.
Secara jujurnya, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang pernah Like dan Komen (dan Share), sebab anda semua memberi semangat kepada saya untuk terus istiqamah memasak sarapan pagi sekeluarga dan bekal sekolah anak-anak. You guys are awesome!
5) Pelbagaikan menu, supaya kita sebagai tukang masak, tak rasa jemu nak memasak.
Saya benar-benar pelbagaikan.
Masakan Melayu, Cina, Barat, India, pelbagai. Semalam masak mi, hari ni sediakan roti, esok sediakan pasta. Gilir-gilir, selang-seli, tukar-tukar.
Setiap Pagi Bangun Awal Untuk Masak. Suami Ni Kongsi Rahsianya. Memang Awesome Sangat!
Bahkan apabila kita buat sebegini, kita jadi kreatif, kita jadi seronok, kita boleh cari idea baru, saya jadikan aktiviti dengan anak-anak mencari resepi dan idea masakan, macam-macam. Jadi teruja, seronok dan mengeratkan hubungan.
Boleh join support groups seperti Masak Apa Hari Ni di Facebook. Ramaaaaaaiiiiii orang kongsi gambar masakan, resepi dan seumpamanya. Macam-macam idea boleh dapat.
Tetapi perlu ingat fokus utama mencari idea dan resepi, bukan membawang, bukan saja-saja tengok, bukan skrol situ sini tanpa tujuan, nanti membazir masa tengok Facebook pun tak guna juga.
6) Sebagai suami, isteri menjadi support kuat saya. Isteri tak komplen masakan tak sedap ke, tetapi diam saja. Lama-lama si suami ni belajar sendiri rasa itu dan menambahbaikkan rasa sendiri. Isteri saya bangun awal pagi juga, saya masak isteri solat atau lipat baju atau kemas rumah…
Sebagai seorang lelaki, ibu saya support saya memasak untuk keluarga saya. Ini juga support kuat. Ibu perlu beri galakan kepada anaknya (kita) untuk memasak, bukan komplen menantu (isteri kita) tak memasak.
Anak-anak pasti support punya. Saya ni, masak apa pun, setiap hari anak-anak kata saya masak sedap. Perghhhhhhh, seronok weyyyyy.
7) Semestinya semua ini perlu dilakukan dengan niat yang baik.
Niat lillahi taala, pastilah terbaik.
Niat bantu isteri, terbaik.
Niat masak makanan sihat untuk keluarga, terbaik.
Niat tak nak guna MSG segala tu, terbaik.
Niat jimatkan duit, terbaik.
Niat ibadah sama ada solat, masak, urus keluarga, semua ini terbaik.
Niat nak ikut sunnah Rasulullah menyantuni keluarga dengan baik, terbaik.
Niat semua yang baik-baik, Allah pasti bantu.
Dan satu perkara penting juga, lakukannya dengan baik. MasyaAllah, kita rasa seronok sebab rasa dekaaaaaat dengan Allah. Amalan menyantuni keluarga dengan baik, termasuk memasak ini, adalah amalan ajaran Rasulullah SAW, kan?
Allah pasti bantu memudahkan.
Setiap Pagi Bangun Awal Untuk Masak. Suami Ni Kongsi Rahsianya. Memang Awesome Sangat!
Dan sekarang ini, anak-anak sudah tahu, setiap pagi nampak hidangan terhidang, anak-anak akan bantu ambilkan pinggan, sediakan sudu garfu, ambilkan gelas, duduk sama-sama, dan memastikan Papa (saya) ambil gambar sebelum makan.
Baca doa dan makan bersama. Subhanallah.
Kemudian bertolak ke sekolah, Papa (saya) pergi hantar anak-anak ke sekolah. Kemudian saya ke tempat kerja.
Bersama dalam post ini, saya sertakan gambar-gambar masakan sarapan pagi (makan pagi sebelum ke sekolah jam 7 pagi) sekaligus bekal sekolah anak-anak (makan waktu rehat jam 10 pagi di sekolah).
Setiap Pagi Bangun Awal Untuk Masak. Suami Ni Kongsi Rahsianya. Memang Awesome Sangat!
Memandangkan isteri saya berada di rumah (surirumah yang berniaga dari rumah), maka makan tengah hari dan malam isteri saya sediakan, saya jemput anak-anak balik dari sekolah pulang ke rumah dan lunch di rumah, tak makan luar pun jadi sebab itulah anda tak nampak saya makan di kafe tempat kerja. Heheheee.
Gambar-gambar ini adalah sebahagian koleksi dari Jun 2019 hingga awal Januari 2020 ini. Tanpa saya sedar, banyaaaaaak menu, resepi dan gambar saya kongsi. Hehehe…
Saya nak bukukan semua ni dari segi gambar, celoteh, kisah dan resepi. Nak beli buku resepi saya tak?
Sebelum anak mula sekolah rendah, saya ada juga masak. Kadang-kadang je la, sebab isteri nak masak. Sekarang ni pun isteri nak masakkan sebab tak nak susahkan saya, tetapi saya minta isteri beri peluang saya pun nak buat kebaikan untuk keluarga juga. Saya masak pagi, isteri masak tengah hari/malam. Kerjasama dengan penuh kasih sayang gittewww
sumber : Syahr Musafir