Teknik didik anak tanpa pukulan, baik untuk perasaan anak dan ibu bapa

Kajian mendapati bahawa kebiasaannya ibu bapa yang berterusan menjerit atau merungut terhadap anak-anak akan berasa kecewa, marah dan rasa bersalah selepas itu. Anak-anak pula dalam diam akan bertambah marah dan ingin memberontak yang mana akhirnya mereka terus berkelakuan tidak baik. Terdapat beberapa teknik mendidik anak tanpa kekerasan bahkan teknik mendidik anak tanpa pukulan sebenarnya baik untuk perasaan anak dan ibu bapa.

Menerusi catatan di Facebook, Wawa Shauqi mengulas satu video mengenai teknik mendidik anak yang diamalkan oleh seorang ibu dari negara luar. Wawa begitu kagum dengan ibu itu kerana tanpa memukul atau memarahi anak-anaknya yang berbuat silap, si kecil itu tetap berperangai baik.

Menurut Wawa, teknik yang dilakukan oleh ibu itu dinamakan Positive Dicipline yang bermaksud mendisiplinkan anak dengan mengajarkan anak tersebut cara untuk menyelesaikan masalah. Jika ibu bapa mengendalikan anak dengan baik, maka anak-anak pun akan belajar mengendalikan diri mereka dengan baik.

Dalam Positive Parenting, perkataan sangat memainkan peranan penting. Pesan Wawa, ibu bapa harus berhati-hati dalam memilih perkataan, tidak boleh sesuka hati melepaskan kata-kata pada anak-anak. Antaranya ialah:

Ibu bapa jangan menjerit “bising la!” pada anak tetapi minta anak rendahkan suara mereka, “boleh rendahkan suara?”

Jangan gunakan perkataan kasar seperti, “biadab ya dengan mama!”, sebaliknya gunakan perkataan yang lebih sopan seperti, “tolong guna bahasa yang lebih elok”.

Jangan perlekehkan kemampuan anak seperti, “alah, benda senang je pun”, sebaliknya beri sokongan kepada anak seperti, “mama selalu nampak awak boleh buat benda yang susah-susah. Cuba usaha lagi.”

Apabila ibu bapa berhati-hati dalam memilih perkataan, kesan yang dapat dilihat pada anak ialah:

Anak akan turut bercakap dengan baik.

Anak ada kawalan diri yang baik.

Anak akan lebih bermotivasi untuk lakukan kebaikan kerana dia tidak berasa dirinya diprovokasi.

Melalui video tersebut, kelihatan si ibu menggunakan beberapa strategi Positive Discipline yang disarankan oleh ahli psikologi kanak-kanak Dr Jane Nelson.

Tekankan penyelesaian bukannya masalah.

Dalam video ini, si anak dengan tidak sengaja menumpahkan air lalu si ibu memberitahu dan menunjukkan bahawa jika gelas ditolak, air akan tertumpah. Oleh itu, untuk mengelakkan air tertumpah, jangan tolak gelas.

Seminggu kemudian, anaknya berkata dia tidak akan menolak gelas tersebut. Si ibu bertanya, “mengapa?”. Anaknya menjawab, “jika saya tolak, air akan tumpah”.

Lihatlah, tanpa memarahi anak kerana menumpahkan air tetapi menunjukkan cara mengendalikan gelas agar air tidak tertumpah si anak bukan sahaja dapat mengingati pesanan si ibu malah mempraktikkannya.

Tetapkan had.

Pernah suatu ketika dahulu, anak-anaknya berebut untuk bermain buaian. Si ibu menetapkan had masa untuk mereka bermain. Sebulan kemudian, anak-anaknya tidak lagi berebut malah saling bertolak ansur untuk bermain buaian.

Menjadi teladan pada anak-anak.

Sikap dan peribadi anak-anak yang bakal terbentuk dalam diri mereka adalah cerminan daripada ibu bapa masing-masing. Jika ibu bapa memberikan respons yang tidak baik, maka anak-anak akan ikut. Mereka melihat, memerhatikan dan meniru tindakan ibu bapa. Jika ibu bapa suka membaling barang ketika marah, maka tidak mustahil anak-anak akan berbuat perkara yang sama.

 

Memberi perhatian ketika anak berbuat baik.

Sebagai ibu bapa rebut peluang untuk memuji anak setiap kali mereka berbuat baik dan bukannya menyergah anak apabila mereka melakukan kesalahan. Ini kerana, anak-anak akan lebih bahagia apabila ibu bapa memuji ketika mereka berbuat baik.

Mendengar.

Anak-anak mahu ibu bapa mendengar mereka. Ibu bapa perlu dengarkan apa yang anak-anak fikir, apa idea mereka dan sebagainya. Bersoal jawablah dengan anak-anak agar komunikasi dua hala itu menjadi lancar.

Bercakap dengan lemah lembut.

Sebenarnya ibu bapa tidak perlu menjerit atau meninggikan suara kerana tindakan itu hanya membuatkan anak-anak menjadi takut dengan ibu bapa. Gunakan nada suara yang rendah. Yang paling penting, pilih perkataan yang elok-elok.

Mengikut pengalaman ibu ini, dia mengajarkan anaknya cara untuk meminta perhatian yang lebih baik dan bukannya dengan cara buat perangai. Hasilnya, si abang bercakap baik dengan ibunya apabila dia mahukan perhatian daripada si ibu yang sedang bermain dengan si adik.

Wawa mengakui agak sukar sebenarnya untuk mengaplikasikan teknik mendidik anak tanpa memukul ini kerana bukan budaya kebiasaan masyarakat kita.

Namun, tidak salah malah amat digalakkan bagi ibu bapa untuk mencuba teknik mendidik anak tanpa kekerasan ini.

Selamat berjuang wahai ibu bapa!

sumber;mw