Terjumpa wang tepi jalan… berdosakah kalau kitA mengambilnya?

PASTI ada di antara kita yang pernah terjumpa wang di tepi jalan lalu dikutip dan digunakan. Ada pula membiarkannya kerana wang yang dijumpai bukan hak mereka.

Namun bagi yang mengambil wang tersebut dengan mengetahui ia bukan hak mereka, apakah hukumnya dalam Islam?

Mengulas mengenai perkara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga dan penemu tidak mengenali pemiliknya disebut sebagai Al-Luqatah.

Kata Dr Zulkifli, Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan maksud Al-Luqatah di sisi syarak di dalam kitabnya: Daripada Ibnu Qudamah Al-Hanbali Al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain.”

Selain itu, Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “Al-Luqatah mengikut syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya.”
Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.

Syeikh Mustafa Bugha mengklasifikasikan harta Al-Luqatah kepada dua bahagian:

Harta Al-Luqatah (haiwan) iaitu menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu.

Harta Al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan mengambil barang itu dan menjaganya. Ia juga tertakluk kepada hukum syariat samada wajib ataupun tidak.

Berkenaan dengan harta Al-Luqatah selain haiwan, Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhaniy, salah seorang sahabat Rasulullah SAW, katanya: Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak.

Baginda SAW bersabda:‏ Maksudnya: “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Berkenaan dengan hukum mengambil harta Al-Luqatah fuqaha berbeza pendapat berkenaan dengannya. Mazhab Syafie dan mazhab Hanafi membolehkan kita mengambilnya ini kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya. Manakala mazhab Maliki dan mazhab Hanbali melarangnya.

Berkenaan dengan hal ini, Dr Zulkifli berkata, Syeikh Mustafa Bugha menggariskan beberapa pembahagian:

Sunat mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.

Harus mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.

Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya meyakini barang itu akan hilang apabila tidak mengambilnya ini kerana menjaga harta orang islam itu adalah wajib.

Makruh mengambilnya sekira ia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.

Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.

Sekiranya nilai yang besar dan berharga diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada pihak yang berautoriti bagi menguruskan harta itu.

Hebahan harta Al-Luqatah yang mempunyai nilai besar mengikut jumhur para fuqaha adalah wajib. Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W daripada Zaid bin Khalid yang bermaksud “hebahkan ia selama setahun.”

Syeikh Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitab beliau berkenaan cara menghebahnya iaitu dengan mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan.

“Sekiranya harta tersebut tidak dituntut sebaiknya diserah kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya dan diputuskan oleh qodi atau hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitumal,” katanya.

Berkenaan dengan barang yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan tidak harus mengumumkannya seperti hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

Maksudnya: Rasullullah S.A.W memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya.

“Begitu juga dengan harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya. Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Syaukani di dalam kitabnya bahawa Saidina Ali RA berjumpa dengan Rasullullah S.A.W bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya.

“Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak tiga kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah kesemuanya,” katanya.

Berdasarkan persoalan yang diajukan, Dr Zulkifli menyimpulkan, wang tersebut boleh diambil, tetapi dengan beberapa panduan:

Mestilah berazam untuk menjaga dan memulangkan semula wang yang dijumpai tersebut sekiranya dituntut.
Membuat hebahan kepada orang ramai di kawasan yang dijumpai selama mana anggaran bahawa pemiliknya tidak akan mencarinya lagi. Kemungkinan selama 3 hari atau kurang mengikut anggaran nilai barang tersebut.

Sekiranya di dalam jangka waktu itu tidak ada orang yang menuntut maka ia dibenarkan untuk menggunakannya dan sanggup untuk membayarnya kembali sekiranya ia dituntut.

Sebaiknya duit yang dijumpai dihebahkan melalui media sosial seperti facebook dan whatsapp dan seumpamanya. Setelah itu sekiranya masih belum dijumpai pemiliknya dalam tempoh yang tertentu duit itu boleh disedekahkan kepada masjid atau rumah anak yatim.

Namun sekiranya nilai yang besar dan berharga diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada pihak yang berautoriti bagi menguruskan harta itu.