Terkejut Rasa Makanan Lain Sedap, Gadis Ini Hanya Makan Sandwich Dan Kerepek Selama 23 Tahun

Siapa sangka, seorang gadis berusia 25 tahun menjalani kehidupannya dengan hanya makan sandwich yang berisi kerepek berperisa keju dan bawang sahaja sejak berusia dua tahun.

Lanjutan daripada itu, kini gadis tersebut dipercayai akhirnya dapat menikmati makanan dengan betul selepas menjalani hipnoterapi.

Zoe Sandler yang berasal dari United Kingdom itu mengatakan dia akan memakan dua paket kerepek kegemarannya hampir setiap hari selama 23 tahun.

Menurut laporan Wales Online, Zoe mengatakan makanan lain akan menyebabkannya berasa sakit secara fizikal. Oleh itu, dia akan mengunyah kerepek Walkers bersama roti putih disalut mentega sejak kecil.

Ibu bapanya juga pernah memperkenalkannya dengan makanan yang lain. Namun sebaliknya, Zoe akan memalingkan muka dan enggan memasukkan apa-apa makanan lain ke dalam mulutnya.

Nampaknya satu-satunya perkara yang ibu boleh buatkan saya makan adalah kerepek yang pernah saya kemam sehingga lembut.

”Saya masih ingat ketika berada di sekolah semasa saya kecil dan mempunyai sandwich berisi kerepek di dalam bekal makan tengahari. Itulah satu-satunya makanan yang saya suka makan,” kata Zoe.

Zoe mendedahkan dia biasanya akan makan bijirin kering pada waktu pagi dan diikuti dengan sandwich berisi kerepek pada waktu tengah hari dan malam.

Kadang-kala bagi mengubah selera, Zoe akan beralih kepada kerepek keju dan bawang serta perisa-perisa lain asalkan rasa makanan itu boleh diterima.

Pada waktu krismas pula, Zoe menghadapi masa yang sukar kerana dia tidak gemar dengan makanan yang dihidang. Dia hanya akan memakan puding Yorkshire tanpa kuah sahaja.

Namun kini, Zoe baru mengetahui bahawa dia disahkan mengalami Multiple Sclerosis (MS), keadaan yang menjejaskan otak dan sarafnya.

Dia tekad untuk meningkatkan tahap kesihatannya dengan menghubungi ahli hipnotis David Kilmurry, yang sebelum ini membantu mereka yang mengalami masalah cerewet untuk makan.

Setelah menjalani dua sesi hipnoterapi selama dua bulan, kini Zoe dapat menikmati buat kali pertamanya buah-buahan dan sayur-sayuran beserta makanan lain.

Saya tidak percaya betapa sedapnya strawberi dan saya juga mencuba sotong cili Wagamama yang sangat pedas.

”Saya juga tidak sabar untuk mencuba kari dan banyak makanan lain yang berbeza,” kata Zoe.

David Kilmurry menjelaskan dalam media sosialnya, bahawa Zoe telah didiagnosis dengan Avoidant/restrictive food intake disorder (ARFID) atau dikenali sebagai Neophobia (fobia terhadap makanan yang menghadkan penghidap kepada segelintir jenama yang dimasak dan dimakan sama setiap hari).

Beliau berkata bahawa penghidap ARFID mampu bertahan dengan makanan tersebut tanpa mencuba makanan yang baru.

Dalam masa yang sangat singkat bersama saya dan ketika di rumah, dia dengan tenang memakan makanan baru dan memasukkan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran bermutu tinggi ke dalam senarai makanan ‘selamat’nya,” kata beliau.

Selanjutnya, pakar hipnotis memaklumkan bahawa Zoe telah mencuba kubis, beri biru, kacang dan kranberi, serta teruja untuk mencuba beberapa makanan lain.

Zoe berkata, dia kini berdedikasi untuk mengatasi obsesnya terhadap sandwich berisi kerepek dengan harapan dia dapat menikmati hidangan yang betul pada majlis perkahwinannya pada bulan Mac, tahun hadapan.

Sumber: NDTV