Terlelap selepas menyusu sambil baring, sedar-sedar si ibu lihat bayi 13 bulan terbeliak mata tanpa respon… ingatkan sawan rupa-rupanya tersedak susu!

ALLAH beri peluang kedua untuk kami”

Demikian luahan penuh emosi seorang ibu, Zuraini Awang ketika bercerita mengenai insiden yang hampir meragut nyawa anak kecilnya gara-gara tersedak susu.

Sungguhpun sudah lebih dua minggu insiden itu berlaku, Zuraini masih lagi terkesan dan trauma sehingga kini lebih-lebih lagi setiap kali menyusukan anak bongsunya yang berusia 13 bulan.

Mengimbas kembali detik yang tidak akan dilupakan seumur hidupnya itu, Zuraini berkata anaknya, Asfa Fatimah Aisyeguel Mohd Rizalman merengek meminta susu sekitar pukul 4 pagi.

“Saya berikannya susu badan sambil berbaring. Bila dah agak lama, saya pun cabut dan terlena semula. Tiba-tiba saya terjaga dan tergerak hati untuk lihat Fatimah.

“Dalam gelap diterangi lampu penghawa dingin samar-samar, saya nampak matanya terbuka luas memandang ke arah saya tapi dia diam saja. Pelik sangat gelagatnya tu.

“Saya sentuh dahinya nak check suhu sebab Maghrib tu dia macam demam ringan. Terasa dahinya agak panas dan saya berlari buat susu sebab nak masukkan ubat dalam susu tu. Bila beri susu, meleleh je. Tak ada respon. Terlintas ‘anak aku kena sawan ke?’

“Saya buka lampu bilik. Masa itulah saya tengok bibirnya dah biru. Saya panggil suami dan kami bertungkus lumus buat sesuatu. Suami buka baju Fatimah, dukung dan goncang-goncang badannya. Kemudian terlihat susu meleleh dari hidung… pekat!

“Masa tu saya dah panik dan menjerit pada suami… anak kami tersedak susu,” cerita wanita berusia 34 tahun dari Pasir Mas, Kelantan ini.

Menurut Zuraini, suaminya pantas menjolok mulut Fatimah dan tidak lama kemudian bayi mereka muntah.

Sampai sekarang ni masih trauma lagi hinggakan saya menyusu pun duduk… serik dah berbaring.

IBU
“Selepas muntah, barulah dengar suara Fatimah menangis. Allahuakbar, lega sikit sebab Fatimah bagi respon,” ujarnya yang juga ibu kepada empat cahaya mata.

Tanpa melengahkan masa, Zuraini berkata dia dan suami segera membawa Fatimah ke hospital terdekat untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Tidak terhingga dirinya dan suami mengucapkan syukur selepas doktor mengesahkan keadaan anak bongsu mereka dalam keadaan yang baik dan dibenarkan pulang ke rumah.

“Doktor cuma masukkan ubat demam menerusi dubur sahaja. Dalam perjalanan ke kereta nak balik rumah, terdengar Fatimah sendawa. Alhamdulillah lega rasanya.

“Sejak balik dari hospital awal pagi tu, hingga malam saya tak tidur. Saya trauma dan setiap masa pantau Fatimah. Sampai sekarang ni masih trauma lagi hinggakan saya menyusu pun duduk… serik dah berbaring,” ujarnya yang menjalankan bisnes secara atas talian (online).

Sekadar berkongsi coretan pengalaman untuk dijadikan pengajaran buat para ibu bapa, Zuraini tidak menyangka perkongsiannya di laman Facebook meraih lebih daripada 11,000 shares.

“Saya cuma nak kongsi pengalaman agar ibu bapa ambil pengajaran dan tak alami perkara sama seperti kami. Selepas benda ini terjadi, barulah tahu, bukan bayi kecil je boleh tersedak susu, tapi yang dah lebih setahun pun boleh tersedak.

“Ada juga ibu bapa komen dan beritahu mereka juga fikir hanya bayi kecil je tersedak. Jadi secara tak langsung, insiden ini membuka mata ramai.

“Keduanya, elakkanlah menyusu sambil berbaring. Pastikan kedudukan kepala anak lebih tinggi sikit daripada badannya. Apa yang penting, pantaulah anak-anak setiap kali menyusu sama ada menyusu badan atau botol,” katanya lagi.