Tertekan pedal minyak, suri rumah memandu tanpa lesen rempuh tiang HSA

 SEORANG suri rumah berusia 46 tahun tertekan pedal minyak ketika ingin membuat pusingan di lobi utama Hospital Sultanah Aminah (HSA), menyebabkan kenderaan dipandunya terlanggar salah satu tiang di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian yang berlaku pada pukul 10.25 pagi Selasa, wanita berkenaan datang ke hospital untuk melawat anaknya.

Ujarnya, hasil semakan mendapati wanita tersebut tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Wanita itu secara tidak sengaja tertekan pedal minya semasa membuat pusingan di lobi utama hospital.

“Akibatnya, dia hilang kawalan dan merempuh bahagian tiang konkrit berhampiran.

“Tiada orang lain yang terlibat dalam kejadian itu dan wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, polis mengeluarkan saman terhadap wanita berkenaan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) kerana memandu tanpa lesen hingga menyebabkan kemalangan.

“Wanita itu tidak cedera tetapi kelihatan sedikit trauma selepas kejadian itu.

“Sebagai langkah keselamatan, dia dibawa ke bahagian kecemasan dan trauma hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengendalikan kenderaan terutama di tempat yang mempunyai orang awam seperti di hospital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *