Tiada layanan istimewa VIP solat berjemaah di masjid – Timbalan Menteri JPM

KERAJAAN mengingatkan kepada pentadbir masjid supaya tidak memberikan layanan istimewa kepada mana-mana individu berstatus orang kenamaan (VIP) yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat sebagaimana tular sebuah rakaman video di laman sosial pada Jumaat.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, layanan sama rata perlu diberikan dan tidak hanya tertumpu kepada golongan ‘kayangan’ sahaja untuk menunaikan solat.

“Apa yang tular itu kita sedang kenal pasti punca sebenar berlakunya perkara tersebut.

“Pihak Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sendiri telah meminta pihak masjid berkenaan memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut dan akan diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Musaadah Yayasan dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)-Bank Islam kepada pengayuh beca di Dataran Muhammadi pada Sabtu.

Seramai 25 pengayuh beca yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan pada program tersebut

Sementara itu, menurut laporan Kosmo, pihak pengurusan Masjid Putra memohon maaf sekiranya wujud kekeliruan susulan penyebaran video tular kononnya timbul layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di masjid itu di sini semalam.

Sebelum ini, tular di media sosial video yang memaparkan hanya individu yang mempunyai pangkat dan kabel dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dipercayai di sebuah masjid di Putrajaya pada Jumaat.