Sebatang pokok kelapa setinggi lapan meter yang tumbuh di Kabupaten Pacitan, Jawa Timur telah menarik perhatian orang ramai kerana keunikannya yang bercabang lapan, lapor Times Indonesia
Pokok berusia 40 tahun milik Kateno, 56, dari Desa Ploso itu dianggap istimewa kerana kebiasaannya pokok kelapa hanya tumbuh lurus tanpa dahan bercabang. Menurut Kateno, pokok kelapa itu pernah mahu dibeli orang pada harga 15 juta rupiah (RM4,406).
“Seingat saya, benihnya adalah benih biasa seperti kebanyakan pokok kelapa yang selalu saya tanam. Saya tidak sangka apabila tumbuh, ia akan bercabang lapan seperti ini hingga ada yang sanggup membelinya,” katanya.
Namun begitu, Kateno menolak tawaran itu dengan baik. Dia menjelaskan bahawa pokok kelapa itu ditanam pada tahun 1980, kerana keunikannya, bapanya berpesan agar pokok tersebut tidak diserahkan kepada orang lain.
Sementara itu, Ketua Kampung Desa Ploso, Agus Cahyono mengakui kisah tular pokok kelapa ini menjadikan desa itu sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Jawa Timur.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pemerintah tempatan untuk membuat jalan yang lebih baik untuk ke kampung mereka. Pembinaan jalan raya diharapkan dapat memudahkan orang ramai atau pelancong yang ingin melihat pokok kelapa ini secara langsung.
Agus juga bersyukur kerana Kampung Desa Ploso mempunyai banyak potensi baik dalam sektor pelancongan dan perniagaan yang diuruskan sendiri oleh penduduknya.