Tumbuhan aneh mirip burung hantu dijumpai di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Spesies tumbuhan berbunga ganjil mirip burung hantu dinamakan Thismia latiffiana merupakan tumbuhan aneh pertama seumpamanya di dunia yang dijumpai di Terengganu.

Tumbuhan bersaiz kira-kira 12 milimeter (mm) itu turut digelar ‘Thismia burung hantu’ dalam bahasa tempatan kerana bentuknya menyerupai haiwan tersebut.

Jurugambar dan penyelidik bebas dari Terengganu, Suzairi Zakaria, 46, berkata, tumbuhan itu dinamakan Thismia latiffiana sebagai penghormatan kepada ahli botani dan pemuliharaan terkemuka di Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

“Hasil penyelidikan mendapati spesies baharu ini berbeza daripada semua spesies Thismia lain dan status pemuliharaannya dikategorikan sebagai tumbuhan terancam.

“Mengikuti kategori dan kriteria oleh senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN 2019), spesies ini dinilai sebagai terancam secara kritikal kerana setakat ini ia hanya ditemukan di satu lokasi sahaja,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 95 spesies Thismia yang dikenalpasti diseluruh dunia di mana 16 spesies telah diiktiraf di Semenanjung Malaysia dengan sebahagiannya dijumpai di Terengganu.

Suzairi yang lebih dikenali dengan nama pena Dome berkata, penemuan Thismia latiffiana menjadikan sebanyak sembilan tumbuhan daripada keluarga Thismiaceae telah ditemukan di Terengganu di samping T.alba, T. arachnites, T. asereo, T. domei, T. javanica, T. ornata, T. sitimariamiae dan T. terengganuensis.

Beliau berkata, ‘Thismia burung hantu’ ditemukan pada Disember 2019 di hutan simpan sama yang turut dihuni spesies lain iaitu T. sitimeriamiae.

Jelasnya, sebelum diisytiharkan sebagai penemuan baharu, tumbuhan itu dihantar ke Kepong Herbarium (KEP) bagi semakan status teksonomi terlebih dahulu.

“Proses pengisytiharan tumbuhan itu sebagai spesies terbaharu memakan masa yang lama kerana perlu melalui kajian secara saintifik malah sehingga kini para pengkaji masih menjalankan kajian berhubung biologi tumbuhan ini secara lebih mendalam.

“Selepas membandingkannya dengan semua spesies Thismia yang ada, tumbuhan ini di dapati tidak sepadan dengan mana-mana spesies dan dikategorikan sebagai spesies baharu yang tidak direkodkan di tempat lain,” katanya.

Suzairi berkata, ‘Thismia burung hantu’ adalah salah satu daripada empat spesis baharu yang ditemui di Terengganu selain T. domei, T. sitimeriamiae dan T. terengganuensis.

“Terengganu juga menemukan dua lagi spesies sebagai rekod baharu iaitu T. arachnites dimana pertemuan pertama di Perak namun ia tidak dapat dikesan lebih sejak 100 tahun lalu serta T. ornata yang pertama kali ditemukan di Borneo,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, khazanah biodiversiti itu perlu dipelihara agar ia tidak pupus begitu sahaja ekoran penerokaan hutan atau pembalakan secara tidak terkawal.

“Penerokaan sumber alam secara tidak terkawal akan memusnahkan sesebuah habitat sekaligus menyebabkan ia hilang keupayaannya untuk menampung spesies-spesies tumbuhan istimewa yang sedia ada.

“Kehilangan tempat tinggal ini akan menyebabkan biodiversitinya semakin berkurangan dan tidak mustahil ia akan diancam kepupusan seterusnya tidak dapat dilihat lagi pada masa akan datang,” katanya.

Suzairi mula aktif dengan penyelidikan Thismia pada 2018 dengan kerjasama salah seorang penyelidik iaitu pakar botani Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Siti Munirah Mat Yunoh.

sumber .sinar h