Kuala Berang: Sejak kecil sudah berhadapan banjir menyebabkan Mohd Suhaimi Abdul Manan ‘masak’ dengan apa yang perlu dilakukan ketika musibah itu berlalu.
Bagi Mohd Suhaimi, 40, apa yang penting ketika menghadapi bencana adalah cakna dengan persekitaran dan membuat persiapan awal.
Malah dia turut menurunkan ‘ilmu’ menghadapi banjir kepada semua anaknya demi keselamatan.
“Sejak kecil saya sudah menghadap banjir, didedahkan dengan PPS (pusat pemindahan sementara) dan penting kita cakna serta berpindah awal.
“Jadi persiapan juga perlu dibuat termasuk menyimpan barangan ke tempat tinggi, manakala kenderaan dialihkan ke tempat selamat lebih awal supaya tidak kalut jika banjir berlaku mengejut.
“Ikut pengalaman kami penduduk di sini, kita berpandukan paras air sungai, sama ada akan surut selepas beberapa jam atau terus meningkat hingga berlaku limpahan,” katanya ketika ditemui di PPS Kampung Kemat, di sini.
Akuinya, meskipun berpuluh kali menghadapi bencana itu, tetap juga ada kegusaran terhadap keselamatan ahli keluarga.
Jirannya, Siti Aisyah Daud, 38, berkata, dia serta keluarganya sukar tidur setiap kali musim tengkujuh kerana bimbang rumah dinaiki air ketika lena.
“Ditambah pula saya mempunyai anak kecil, oleh itu kewaspadaan amat perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Pengalaman saban tahun berdepan banjir mendorong saya sekeluarga lebih berhati-hati dan akan ke PPS lebih awal bersama anak,” katanya yang memberitahu rumahnya ditenggelami banjir sedalam satu meter.
sumber;metro