Berkongsi rezeki adalah perilaku mulia yang dilakukan, bukan hanya sesama manusia bahkan juga kepada haiwan yang kesusahan.
Ia memerlukan sifat belas kasihan yang tulus daripada hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki ini.
Terdapat seekor kucing betina yang kerap kali muncul berhampiran beranda rumah lelaki itu, seperti meminta makanan padanya.
Atas rasa kasihan dan belas ihsan, lelaki itu akan memberikan potongan ikan padanya. Lebih menyedihkan adalah keadaan fizikal kucing terbabit.
Kaki hadapan kanan kucing terbabit tidak dijejakkan ke tanah apabila berjalan dan kucing itu bergerak secara terencot-encot.
Agak misteri apabila kucing itu tidak terus makan di lokasi terbabit sebaliknya akan membawa makanan itu ke suatu tempat.
Ini menimbulkan tanda tanya kepada individu yang mengikuti kisah kucing ini sehinggakan mereka akhirnya memasang kamera untuk menjejaki pergerakan kucing berkenaan.
Alangkah sayunya apabila mereka mendapati bahawa kucing itu sebenarnya membawa pulang ikan untuk diberikan kepada anak-anaknya.
Sebaik sahaja mendapat sahaja makanan, ibu kucing itu akan berlari menuju ke lokasi anaknya berkumpul walaupun salah satu kakinya tempang.
Mengetahui akan hakikat itu, mereka kemudian memasang sangkar untuk menangkap kucing itu dan juga anak-anaknya.
Penangkapan itu dilakukan bagi membolehkan kucing itu dan anak-anaknya diperiksa dan mendapat rawatan yang sewajarnya.
Di klinik, lelaki yang setiap hari memberikan makanan kepadanya turut menemaninya.
Malah, mata ibu kucing itu kelihatan berkaca, seakan tahu bahawa diri dan anaknya diselamatkan.
Difahamkan juga bahawa lelaki itu turut memutuskan untuk membela kucing terbabit bersama anak-anaknya.