Kuala Lumpur: Pelakon Wan Sharmila, 40, atau mesra disapa Lala, teruja dapat meluangkan masa bersama anak perempuan Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin iaitu Dzahira Talita Zahra.
Wan Sharmila atau nama sebenarnya Wan Sharmila Wan Mohamed turut memuji keperibadian Talita, 9, sebagai seorang yang sopan santun dan menghormati orang yang lebih berusia.
“Ini merupakan kali pertama saya berjumpa dengan Talita. Alhamdulillah, semua dipermudahkan dan akhirnya saya dipertemukan juga dengannya.
“Dia seorang anak yang baik, pandai menghormati orang dan pandai buat orang gelak dengan aksi bersahajanya.
“Sama seperti yang saya kongsikan di Instagram, Alhamdulillah Talita sudi berkawan dengan saya dan kami serasi bersama. Seronok rasanya dapat meluangkan masa bersama,” katanya.
Menerusi perkongsian video di akaun Instagram Siti Sarah pada Rabu lalu, Talita dilihat bertemu dengan Wan Sharmila di sebuah pusat membeli belah.
Rata-rata netizen mengakui turut berasa sebak menonton pertemuan Talita dengan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu.
Terdahulu, nama Lala menjadi tular di media sosial apabila didakwa sebagai ‘wanita misteri’ yang memeluk anak perempuan Shuib. Warga maya memetik nama pelakon wanita itu berdasarkan bentuk tubuh dan penampilannya.
Lala memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana enggan disalah erti oleh mana-mana pihak. Dia bagaimana pun menafikan dia adalah individu di dalam video berkenaan.
“Kalau boleh, saya tak nak ulas lebih lanjut mengenai perjumpaan itu. Bimbang nanti orang boleh salah faham pula.
“Apa-apa pun, doakan yang baik-baik untuk saya dan juga Talita sekeluarga,” katanya.
sumber;my metro