Wanita terkejut bapa menangis seperti hilang anak selepas kucingnya mati, tengok bekas makanan pun emosi – “Saya nikah pun abah tak nangis sampai macam ni”

SETIAP kucing pasti mempunyai tempat istimewa di hati tuannya sehingga ada yang berduka apabila sesuatu yang buruk menimpa haiwan tersebut.

Begitulah yang dialami bapa kepada lima anak yang teresak-esak menangis sambil memangku kucing kesayangannya yang sudah tidak bernyawa.

Video momen sebak berdurasi dua minit 20 saat itu dikongsi Tasha yang juga anak kepada lelaki tersebut menerusi satu posting di Twitternya sehingga menyentuh hati netizen.

Sehingga hari ini, video tersebut mendapat lebih 600,000 tontonan di Twitter dengan 27,400 tanda suka dari netizen.

Menurut Tasha, bapanya Muhammad Zaid Zakaria, 55, amat rapat dengan kucing betina bernama Milo yang dijaga sejak enam tahun lalu.

Milo amat rapat dan manja dengan Muhammad Zaid.

“Abah dengan Milo memang macam kawan baik memang rapat. Dia selalu kejut abah bangun Subuh. Rutin harian memang macam tu.

“Kalau abah baring mesti Milo akan panjat duduk atas dada. Dia juga tidur bersama dengan abah sejak dari baby lagi,” katanya kepada mStar.

Malah anak kedua daripada lima beradik itu turut mendedahkan kucing tersebut ibarat ahli keluarga mereka sendiri.

“Abah selalu gelarkan kucing tu ‘anak abah’. Kiranya dia adik bongsu kami. Milo sangat manja dengan abah.

“Ni first time saya tengok abah menangis macam tu. Masa saya nikah hari tu pun dia tak nangis sampai macam ni sekali,” katanya.

Menurut Tasha, kucing kesayangan bapanya itu mati akibat dilanggar kereta pada Sabtu lalu.

Antara rutin harian Muhammad Zaid bersama kucing kesayangannya.

“Milo kena langgar kereta. Tapi kami pelik selama ni bila start je enjin kereta dia akan lari. Dia memang takut bunyi kereta.

“Tapi mungkin hari tu dah ajal dia. Saya rasa terkilan jugalah kenapa dia tak lari macam yang dia selalu buat,” katanya yang menetap di Bangi.

Ni first time saya tengok abah menangis macam tu. Masa saya nikah hari tu pun dia tak nangis sampai macam ni sekali.

Mengimbau kembali insiden menimpa Milo, Tasha pada awalnya menyangka kucing tersebut hanya cedera sebelum terkejut apabila mengetahui keadaannya sebenar.

“Masa mula-mula ummi hantar video tu saya memang rasa tak sedap hati tapi saya belum tengok video tu sampai habis.

“Saya suruh ummi bawa pergi klinik. Tak lama lepas tu ummi beritahu Milo dah tak ada.

“Terus saya tengok balik video tu sampai habis. Masa tu memang saya menangis macam mana abah dan ummi menangis dalam video tu,” katanya.

Meskipun Milo sudah tiada, bapanya masih terkesan dengan pemergian kucing kesayangannya itu.

“Ummi baru lepas hantar video abah tengah menangis. Dia tengah belek-belek phone dia.

“Tiap kali abah tengok bekas makanan Milo dia akan menangis. Mungkin dia teringat. Dia sedih sangat rasa macam hilang anak sendiri.

“Saya ada suruh ummi bawa abah pergi jalan-jalan tapi bawa kereta pun dia nangis. Sayang betul dia kat Milo,” katanya.

Kucing tersebut ditanam di hadapan kawasan rumah mereka dekat Bangi.

Sementara itu, Tasha turut mendedahkan bapanya pernah murung apabila kucing yang pernah dipelihara mereka selama setahun mati sebelum ini.

“Pernah dulu kucing saya mati. Kami bela dalam setahun tapi abah murung seminggu. Sampai kawan dia kat office beritahu dia tak bercakap.

“Itu baru bela setahun bayangkan Milo enam tahun. Saya tak tahulah berapa lama abah akan bersedih. Mungkin dia perlukan sikit masa untuk lupakan,” katanya.

sumber ;mstar