Warga emas maut diberi minum cecair pencuci pinggan

Seorang wanita warga emas di sebuah rumah jagaan di Amerika Syarikat meninggal dunia selepas diberi minum cecair pencuci pinggan dan bukannya jus, lapor akhbar Daily Star UK semalam.

Wanita itu adalah salah seorang daripada tiga penghuni di Atria Park Senior Living Facility di San Mateo, California yang dikejarkan ke hospital selepas kakitangan tersilap memberi mereka minum cecair toksik, demikian menurut saluran televisyen KRON-TV.

Anak perempuan mangsa, Marcia Cutchin mengenal pasti ibunya, Gertrude Elizabeth Murison Maxwell sebagai mangsa dalam kejadian malang itu.

Cutchin berkata, pengurusan rumah penjagaan itu memberitahu keluarganya bahawa cecair yang diberikan kepada ibunya adalah ‘larutan pembersih alkali yang memusnahkan protein’.

Apabila Maxwell tiba di hospital, dia dilaporkan mengalami lepuh teruk pada mulut dan esofagusnya.

Maxwell dikatakan mengalami demensia dan tidak mampu untuk memegang cawan mengandungi cecair beracun itu dan mengangkat ke bibirnya sendiri.

“Untuk ramai orang seperti ibu saya, anda perlu memegang cawan ke mulutnya dan memasukkannya ke dalam mulut,” kata Cutchin kepada KRON-TV.

Rumah jagaan itu melancarkan siasatan dalaman serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti punca kejadian. Kakitangan yang terlibat dalam kesilapan itu telah digantung kerja.

Maxwell meninggalkan lapan anak dan 20 cucu, demikian menurut Cutchin.

sumber ;Agensi

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *