“Dia manyak degil encik. Dia punya kepala batu
besar ada duduk…” Pasti ramai yang ingat dialog dituturkan watak lelaki India
ini dalam filem Seniman Bujang Lapok. Walaupun wataknya kecil dan hanya muncul
sebentar, namun ia antara lakonan M. Zain yang diingati sehingga ke hari ini.
M. Zain atau Mohd Zain bin Shariff dilahirkan di
Jalan Perak, Pulau Pinang pada tahun 1921. Bapa beliau merupakan seorang
penjual mi yang dikenal sebagai Shariff Tomato Mi.
M. Zain meminati bidang lawak semenjak zaman
kanak-kanak. Oleh sebab itu, beliau sering ponteng sekolah semata-mata
mahu menonton bangsawan atau apa-apa bentuk pertunjukan pentas.
Ketika berusia 14 tahun, M. Zain memilih bekerja di
pentas bangsawan bergerak yang aktif di Pulau Pinang. Beliau memasang dan mengecat
pentas, memasang set dan sebagainya dengan mendapat upah harian. Kadangkala,
beliau menjadi penghibur gantian, bernyanyi dan berlawak.
Pada mulanya, M. Zain bekerja dengan Dean Opera.
Kemudian, beliau bekerja pula dengan bangsawan Seri Noran Opera. Tiga tahun
kemudian, M. Zain benar-benar menjadi anak wayang. Kerja beliau hanyalah
menari, menyanyi dan berlakon, terutama cerita lucu dan menjelajah seluruh
pelusuk Tanah Melayu dengan rombongan bangsawan.
Normadiah merupakan salah seorang kawan rapat beliau
ketika mereka sama-sama menyertai rombongan bangsawan pada pertengahan tahun
1940-an. Mereka berpisah apabila Normadiah memasuki dunia perfileman di
Singapura, sedangkan M. Zain masih bekerja di pentas bangsawan.
Selepas Kumpulan bangsawannya gulung tikar, M. Zain
menganggur seketika. Pada tahun 1958, M. Zain ke Singapura atas bantuan
Normadiah dan bekerja di studio Jalan Ampas sebagai pembuat prop dan pembantu
jurusolek.
M.Zain mendapat peluang berlakon watak kecil dalam
filem apabila pengarah Jamil Sulong memberikanya peranan kecil dalam filem Raja
Laksamana Bintan pada tahun 1959.
Pada tahun 1962, M. Zain memperoleh peluang
berlakon filem melalui bantuan Normadiah, iaitu filem Mas Merah yang diarahkan
oleh Dhiresh Ghosh pada tahun 1961. Filem tersebut dilakonkan juga oleh Ahmad
Mahmud, Saadiah dan Ibrahim Pendek.
M. Zain lebih banyak muncul dengan watak-watak
kecil. Namun, banyak juga peranan yang dibawanya meninggalkan memori yang masih
diingati sehingga ke hari ini. Antaranya…
1.
Lelaki India dalam filem Seniman Bujang Lapok.
2.
Jurulelong hamba dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
3.
Che’ Kachung yang minum kopi arang dalam filem Nujum Pak Belalang.
4.
Abang Ali pemilik rumah sewa Kassim Selamat dalam filem Ibu Mertua Ku.
M. Zain semakin menonjol apabila P. Ramlee
mengambil beliau berlakon dalam filem Labu Labi pada tahun 1962. Dalam filem
tersebut, M. Zain membawa watak ‘Labu’ manakala P. Ramlee membawa watak ‘Labi’.
Itulah kali pertama M.Zain memegang peranan utama selepas berlakon sebagai
watak sampingan dalam berbelas-belas filem.
Selain mengenengahkan bakatnya yang mampu berlawak
secara bersahaja, antara lain Labu Labi yang diarahkan oleh P. Ramlee juga
adalah untuk menghilangkan sangkaan banyak orang bahawa P. Ramlee hanya bergantung
pada kebolehan berlawak Aziz Sattar dan S. Shamsudin.
Ada yang menganggap kononnya P. Ramlee tidak mampu
membentuk pasangan lawak yang lain. Terbukti, sangkaan dan tuduhan tersebut
tidak berasas. P. Ramlee berjaya membentuk satu pasangan lawak baharu iaitu
beliau dan M. Zain, yang amat berkesan seperti pasangan Aziz Sattar dan S.
Shamsudin.
Dari Labu Labi, lahir pula Nasib Labu Labi pada
tahun 1963, sebuah filem komedi yang hangat di pasaran. M. Zain dan P.Ramlee
menjadi pasangan pelawak yang sungguh serasi dan diminati. Di tangan P. Ramlee,
populariti M. Zain menjulang tinggi.
Kesemua lakonan M. Zain selama menjadi pelakon
filem berbentuk lucu atau komedi. Tahukah anda, dalam semua watak yang
dibawanya, M. Zain mengatakan watak kecilnya dalam filem Ibu Mertuaku adalah
yang sukar dilakukannya.
Dalam filem bercorak drama berat arahan P. Ramlee
itu, M. Zain memegang watak yang agak serius. Beliau berlakon sebagai pemilik
rumah bernama Bang Ali.
Bang Ali berdepan dengan Kassim Selamat, pemain
muzik buta yang tidak mampu membayar sewa rumah. Bang Ali terpaksa bertindak
dengan cara yang paling lembut meminta Kassim Selamat mengosongkan bilik
sewaannya.
“Inilah lakonan yang paling sulit buat saya,” ujar
M. Zain ketika mengulas lakonan serius yang pertama kali dilakonkan oleh
beliau.
Selepas P. Ramlee berhijrah ke Studio Merdeka di
Kuala Lumpur, M. Zain tidak lagi berpeluang berlakon dengan P. Ramlee yang telah
menaikkan namanya.
Apabila studio Jalan Ampas mula mengalami masalah
dan terbitan merosot, M. Zain menerima nasib yang sama dengan kakitangan MFP
yang lain, menjadi penganggur selepas syarikat filem itu ditutup pada tahun
1967.
Pada tahun 1966, kesihatan M. Zain mula menurun,
sering sakit sehingga pernah masuk hospital. Dia dinasihatkan tidak melakukan
kerja-kerja berat. Ketika itu, Normadiah banyak membantu menjaganya kerana M.
Zain hanya sebatang kara di Singapura berikutan ahli keluarganya semua di Pulau
Pinang.
Akhirnya pada 31 Januari 1967, M. Zain
menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada usia 46 tahun. Jenazahnya
diuruskan di rumah Normadiah dan dikebumikan di Pusara Bidadari.
Kawan-kawan yang pernah bertugas dengan beliau di
MFP menyifatkan M. Zain sebagai seorang pelakon yang dedikasi dan kawan yang
jujur serta ikhlas.
Raja Laksamana Bintan (1959), Nujum Pak Belalang
(1959), Megat Terawis (1960), Sumpah Wanita (1960), Isi Neraka (1960), Putera
Sangkar Maut (1960), Ali Baba Bujang Lapok (1961), Indera Bangsawan (1961),
Seniman Bujang Lapok (1961), Panji Semerang (1961), Si Tanggang (1961), Mas
Merah (1961), Singapura Dilanggar Todak (1961), Labu Labi (1962), Siti Muslihat
(1962), Nasib Labu Labi (1963), Ibu Mertuaku (1963), Siti Muslihat (1962),
Gerhana (1962), Labu Labi (1962), Nasib Si Labu Labi (1963), Kaseh Tanpa Sayang
(1963), Neracha (1963), Darah Muda (1963), Pilih Menantu (1963), Mambang Moden
(1964), Melancong Ke Tokyo (1964), Siapa Besar (1964), Pusaka Pontianak (1965),
Sayang Si Buta (1965), Aksi Kucing (1966).
Sumber Dipetik daripada buku JEJAK TERBILANG
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen,
Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Pihak MyTeam Network tidak
bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini.
Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.