Penghuni apartment ‘buang’ anak-anak kucing, siapa sangka geng pakguard jadi penyelamat

TINDAKAN seorang pemuda yang mahu menaiki kenderaan e-hailing berbanding memandu sendiri pada satu hari mempertemukannya dengan sekumpulan anak kucing terbiar.

pemuda berkenaan memuat naik gambar anak-anak kucing yang baru berusia beberapa minggu di dalam sangkar kucing.

“Sekiranya ada sesiapa yang mahu membelanya, sila maklumkan saya. Buat masa sekarang, pengawal keselamatan di apartment saya menjaga kucing-kucing ini,” tulisnya.

Pemuda berkenaan, Dinesh Dharma berkata, dia menyedari sebuah sangkar kucing ketika melalui pondok pengawal untuk pulang ke rumahnya di Pandan Perdana, Kuala Lumpur.

Menurut Dinesh, dia tergerak hati untuk bertanyakan kepada pengawal keselamatan berkenaan dan dimaklumkan kesemua kucing tersebut dihantar oleh seorang penduduk apartment.

“Ada lima ekor anak kucing jantan. Pengawal kata kucing-kucing ini baru lahir dan penduduk apartment itu tak nak jaga sebab dah banyak.

“Kenapa tuannya biarkan kucing-kucing dia di pondok pengawal? Dia sepatutnya mencari sesiapa yang berminat untuk membela dengan membuat posting seperti saya. Bagi saya, ia satu tindakan tidak bertanggungjawab,” kata pemuda berusia 31 tahun itu

Anak-anak kucing yang dijaga oleh sekumpulan pengawal keselamatan di sebuah apartment.

Walaupun menyukai kucing, Dinesh bagaimanapun tidak dapat membela anak-anak kucing berkenaan kerana dia tinggal menyewa di rumah sebuah keluarga di apartment tersebut.

“Saya tinggal dengan tuan rumah yang sudah bekeluarga, jadi saya perlu respek mereka dengan tidak bawa masuk haiwan sesuka hati.

“Sebelum ini pun kalau nampak ada kucing jalanan, saya akan bagi makan. Kalau saya tinggal sendiri, sudah tentu saya akan bela kucing-kucing ini,” ujarnya yang berasal dari George Town, Pulau Pinang.

Baki tiga daripada lima kucing sebelum seekor anak kucing ditemui pengawal keselamatan.

Sejak Khamis lalu, sangkar kucing itu diletakkan di luar pondok pengawal di sebelah siang sebagai usaha mencari pemilik baharu, dan disimpan di dalam pondok pada waktu malam.

Menurut Dinesh, makanan kucing disediakan oleh orang awam termasuk pengawal keselamatan, dan sepanjang tempoh itu mereka menjaga kebajikan haiwan itu.

Ramai yang kutuk segelintir pengawal keselamatan biadab, tapi sebenarnya ramai yang baik hati. Nak buat baik ni sesiapa pun boleh

“Gaji pengawal keselamatan mungkin tak banyak, dan menjaga kucing bukan tugas mereka tapi mereka ada kemampuan dan perikemanusiaan untuk melakukannya.

“Sangkar kucing pun dibawa masuk ke dalam pondok pengawal bila dah lewat malam sebab tak nak bagi anak-anak kucing ni kesejukan,” katanya sambil menambah beberapa pengawal di apartmentnya terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

Pengurus di sebuah syarikat di Kuala Lumpur itu memberitahu, setakat Sabtu malam, dua ekor anak kucing telah menemui pemilik baharu, susulan postingnya menjadi tular.

Dalam pada itu, katanya, seekor kucing jalanan lain ditemui seorang pengawal keselamatan di kawasan sekitar dan menempatkan haiwan itu di dalam sangkar yang sama.

“Lihatlah, pengawal keselamatan juga ada hati dan perasaan tak mahu biarkan kucing-kucing ini begitu saja, apa yang mereka lakukan itu sudah cukup terbaik.

“Sebelum ini ramai yang kutuk segelintir pengawal keselamatan kerana bersikap biadab, tapi sebenarnya ramai lagi yang baik hati. Nak berbuat baik ni sesiapa pun boleh,” katanya sambil menambah bahawa baki empat kucing yang baru dijumpai oleh pengawal keselamatan telah menemui pemilik baharu pada pagi Isnin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *